Hina anggota TLDM terkorban, polis siasat Saifuddin Shafik

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menyiasat pemilik akaun, Saifuddin Shafik yang dipercayai memuat naik hantaran jelik berkaitan insiden kemalangan melibatkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah membuka siasatan berhubung komen yang dimuat naik menerusi hantaran di platform X.

"Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, polis turut membuat rampasan satu unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran berkenaan.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ulasan atau komen demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terlibat," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, orang ramai diingatkan agar cakna serta prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!