Beli kereta baharu keputusan tepat: MB

Ahmad Faizal
A
A

IPOH – Kerajaan Perak mengambil langkah tepat dengan pembelian 16 kereta Toyota Camry bagi kegunaan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, ia berdasarkan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan yang lebih tinggi perlu dikeluarkan sekiranya terus mengguna pakai kereta lama iaitu Proton Perdana yang dibeli pada 2014.

“Sebuah kereta yang telah digunakan itu sudah berjalan lebih 400,000km, enjinnya pun sudah tiada rupa, banyak pula meragamnya, bila dalam keadaan begitu sudah pasti kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih tinggi untuk dibaiki.

“Berbanding kereta baharu yang mempunyai jaminan hingga lima tahun, maka untuk jangka lima tahun akan datang ini kerajaan lihat perbelanjaan dikeluarkan adalah lebih rendah daripada kos penyelenggaraan kereta lama,” katanya.

Beliau menyedari, ada pihak yang tidak senang dengan pembelian kereta baharu itu, namun menegaskan ia telah mengambil kira semua faktor termasuklah bagi memudahkan urusan antara kerajaan dan rakyat.

“Terpulanglah kepada sesiapa yang tidak bersetuju kerana saya yakin ia keputusan tepat dibuat oleh kerajaan bukan untuk berbangga-bangga atau kepentingan sendiri, tetapi untuk menjaga kewangan negeri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.74 juta iaitu RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry.

Pembelian itu adalah RM90,000 lebih murah daripada harga runcit dengan pembelian langsung daripada syarikat pengeluar dan mendapat pengecualian cukai serta diskaun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia