Pemilihan calon Menteri Besar penentu pada PRN

Iswardy ketika program Wacana bertajuk Selepas Kerajaan Perpaduan, ke mana Undi Melayu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Iswardy ketika program Wacana bertajuk Selepas Kerajaan Perpaduan, ke mana Undi Melayu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan calon Menteri Besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Pemerhati politik, Iswardy Morni berkata, suka atau tidak faktor tersebut akan memberi kesan kepada undi rakyat walaupun hanya satu peratus.

Katanya, sebagai contoh, di negeri Kelantan mungkin cenderung untuk memilih Menteri Besar dalam kalangan ulamak namun berbeza dengan Terengganu yang mana ahli profesional.

"Bagi saya parti yang kalah di sesebuah kawasan sebelum ini perlu meletakkan calon Menteri Besar dan diwar-warkan segera kerana rakyat mahu tengok alternatif kepada pemerintahan sekarang.

"Misalnya di negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan perlu berbuat demikian memandangkan ia diperintah oleh parti Pas," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis dalam program Wacana bertajuk Selepas Kerajaan Perpaduan, ke mana Undi Melayu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut berganding bersama beliau selaku panelis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Iswardy turut berpendapat, DAP dilihat hanya relevan di beberapa kawasan terutamanya di bandar namun kurang signifikan apabila melibatkan luar bandar.

"Oleh itu, saya rasa DAP perlu menonjolkan orang Melayu, ia mungkin cara yang berkesan untuk parti tersebut.

"Mereka juga bukan sahaja perlu baik malah nampak baik. Tidak terlalu rasis dan menggunakan sentimen perkauman sekiranya mahu menarik undi rakyat," jelasnya.