MCA tetap pertahan kerusi Tanjung Malim

Goh Choong Seng
Goh Choong Seng
A
A
A

TANJUNG MALIM - MCA Bahagian Tanjung Malim tidak akan beralah dan tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Goh Choong Seng berkata, mereka akan mengemukakan calon bertanding di Parlimen itu yang merupakan kawasan tradisi ditandingi MCA.

"Persoalan tentang siapa yang patut bertanding dan di mana merupakan isu besar yang perlu diputuskan oleh kepimpinan Pusat bukannya kepimpinan bahagian.

"Bagaimanapun kami akan tetap mempertahankan kerusi ini sebagai kawasan tradisi MCA dan akan terus meletakkan calon," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran dibuat Barisan Nasional (BN) Tanjung Malim yang menyarankan pemimpin MCA dan anggota partinya berhenti 'bermain wayang' dan tidak lagi mengharapkan kerusi Parlimen itu untuk bertanding pada PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN: MCA carilah kerusi lain selain Tanjung Malim

Menerusi perkongsian di Facebook, Pengerusi BN Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, 60 daripada 63 cawangan UMNO di kawasan itu telah mengusulkan supaya kerusi berkenaan ditandingi calon UMNO sendiri.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

MCA ketika ini didakwa cuba untuk membeli semula jiwa pemimpin Melayu bagi menebus dosa mereka memboikot calon BN dari MCA sendiri dalam PRU14 lalu.

Menafikan dakwaan itu, Choong Seng berkata, hubungan mereka bersama pemimpin dan anggota parti serta pengundi kawasan adalah baik.

"Kami tidak pernah mengabaikan rakyat atau pengundi walaupun kalah dalam PRU lalu, malah masih meneruskan kerja sehari selepas hari mengundi serta mengekalkan pusat khidmat di Slim River sehingga kini," katanya.

Pada PRU14 lalu, MCA gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim apabila calonnya, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Presiden MCA) yang menggantikan penyandang, Datuk Seri Ong Ka Chuan tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dengan majoriti 5,358 undi.