PRN: Mohd Sany tidak pertahan kerusi DUN Taman Templer

Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dilaporkan tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Mohd Sany berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati arahan dikeluarkan Parti Amanah Negara (Amanah) mensyaratkan ahlinya tidak boleh bertanding dua kerusi.

“Berat hati saya nak meninggalkan Taman Templer ini kerana ada dalam kalangan penduduk di sini yang saya anggap seperti keluarga tetapi saya doakan Insya-ALLAH pengganti saya selepas ini lebih baik," katanya kepada pemberita.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Selayang dan DUN Taman Templer berlangsung di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang di sini malam Ahad.

Mohd Sany menambah, pengganti bagi kerusi DUN Templer kelak juga diharap mampu untuk menjalankan tanggungjawab serta membawa suara masyarakat di kawasan DUN berkenaan.

“Saya pula dapat menumpukan tanggungjawab besar di Parlimen Hulu Langat bagi memastikan masalah infrastruktur, pembangunan dan lain-lain dapat dibantu untuk diselesaikan,” katanya.