X

Kindly register in order to view this article
!

Polis pantau pematuhan SOP di Zoo Negara

Zoo Negara - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota polis kini ditempatkan di Zoo Negara di sini bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kini ditugaskan untuk memantau pergerakan setiap pengunjung yang hadir ke Zoo Negara.

"Setiap pengunjung diminta mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Baru-baru ini tular gambar yang menunjukkan pengunjung tidak mengamalkan penjarakkan sosial ketika menonton pertunjukan di Zoo Negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara [email protected] Ahmad Lana berkata, pengunjung agak ramai pada minggu pertama pembukaan Zoo Negara pada 10 Jun lepas dan mengakui ada antara mereka yang tidak mematuhi SOP.

Menurut beliau, seramai 300 hingga 700 pengunjung hadir setiap hari dan bilangannya meningkat sehingga 1500 orang pada hari minggu.

"Kita akui pada awal pembukaan Zoo Negara selepas beberapa bulan ditutup kerana Covid-19, keadaan agak kelam kabut tetapi sekarang kita memastikan pengunjung mematuhi SOP dan dengan pemantauan polis serta agensi penguat kuasa lain turut membantu melancarkan operasi," katanya kepada pemberita.

Rosly berkata, pihaknya akan menyediakan nombor kepada pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga bagi memudahkan SOP PKPP dilaksanakan.

Jelasnya, operasi Zoo Negara akan kembali seperti biasa pada Sabtu ini bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Tinjauan Bernama di Zoo Negara hari ini mendapati tempat tarikan orang ramai itu dipenuhi pengunjung dan masing-masing dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!