X

Kindly register in order to view this article
!

30 tahun derita, penduduk gembira masalah air bakal selesai

Suahilai dan Juaitar di kediaman mereka di Felda Chini Timur 1.
A
A

PEKAN - Syukur. Itu yang diluahkan penduduk di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Chini Timur di sini apabila kerajaan mengumumkan pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga.

Setelah 30 tahun gangguan bekalan air menghantui 33,000 penghuni isi rumah di Felda Chini dan kampung sekitar, penduduk sudah boleh menarik nafas lega apabila masalah ini dijangka diatasi pada September 2021 apabila siap kolam takungan air terawat Chini bernilai lebih RM18 juta itu.

Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung (JKKR) Chini Timur 1, Suahilai Md Tai, 65, masalah air di kawasan berkenaan berlaku setiap kali musim kemarau iaitu sekitar April setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, penduduk bernasib baik kerana gangguan bekalan asas tersebut tidak berlaku pada April tahun ini.

"Sebenarnya setakat ini tahun 2020 ini sahaja yang tidak kemarau dan tiada gangguan sampai hari ini. Kalau tidak, kena tadah pakai tong dram. Biasa bulan April setiap tahun air bercatu. Tahun ni tak kemarau.

"Sungai dan takungan air Chini Timur ni kecil. Tambahan pula Chini dulu cuma ada tiga tanah rancangan sekarang sudah ada lapan. Penduduk pun bertambah.

"Memang gembira dengan pengumuman kerajaan negeri untuk membina kolam takungan (ORS)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembinaan Kolam Takungan Hiliran mampu selesaikan masalah air

Beliau juga merupakan salah seorang daripada 156 peneroka yang menerima geran hak milik tanah Felda berkeluasan kira-kira 4.05 hektar hari ini.

Suahilai (dua dari kiri) dan isterinya, Juaitar menerima kunjungan Wan Rosdy (dua dari kiri) bagi menyampaikan sendiri geran tanah milik peneroka itu.
Suahilai (dua dari kiri) dan isterinya, Juaitar menerima kunjungan Wan Rosdy (dua dari kiri) bagi menyampaikan sendiri geran tanah milik peneroka itu.

Mengulas lanjut Suahilai berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun merupakan pemimpin yang banyak memperjuangkan isu air tersebut.

"Terasa sedih tanpa Allahyarham tapi semua orang tahu itu ialah perjuangannya," katanya.

Sementara isteri Suahilai, Juaitar Abd Manaf, 62, turut gembira kerana pengumuman itu bakal menyaksikan masalah gangguan air bakal diatasi sepenuhnya.

"Gembira dah lama sangat menunggu masalah air selesai. Akhirnya dapat juga diselesaikan. Alhamdulillah," katanya.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja pembinaan kolam takungan dijadualkan bermula pada September depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!