Tiada istilah tanah adat tanpa warta sah - Sultan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa tiada istilah tanah adat atau tanah warisan yang memberi hak kepada mana-mana pihak untuk menduduki tanah secara bebas di negeri ini.
Titah baginda, hak menduduki tanah oleh masyarakat Orang Asli hanya wujud melalui pewartaan sah oleh kerajaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.
Baginda menegaskan, mana-mana pendudukan, penerokaan atau penguasaan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Dalam menjaga kedaulatan negeri ini agar terus aman, makmur dan sejahtera, saya ingin menegaskan bahawa isu pencerobohan tanah bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan, ia bukan juga bermusim yang hangat seketika.
“Ia adalah barah yang telah lama berakar, merosakkan sistem pentadbiran tanah, mencabar kedaulatan undang-undang dan menzalimi hak negeri serta rakyat,” titah baginda seperti dilaporkan PahangMedia pada Sabtu.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Sultan Haji Ahmad Shah teluk Gading dan Majlis Berbuka Puasa di Kuala Rompin pada Jumaat.
Titah baginda lagi, tanah yang telah diwartakan sebagai kawasan pendudukan Orang Asli di negeri ini melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar.
Baginda menjelaskan, sebanyak 83 kampung Orang Asli dalam proses ukur dan 18 kampung belum melalui permohonan warta melibatkan keluasan 24,532 hektar manakala tanah yang masih belum diukur melibatkan 61 kampung seluas 16,253 hektar.
“Saya meletakkan sepenuh harapan kepada pihak kerajaan negeri, Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar tidak sama sekali mengabaikan kebajikan serta pembangunan masyarakat Orang Asli, sebaliknya melaksanakan perlindungan secara holistik, berperingkat tanpa henti di bawah peruntukan undang-undang.
“Namun jangan sesekali menjadikan proses ini sebagai alasan untuk menceroboh, menguasai, membuka ladang haram dan mengeksploitasi tanah negeri,” titah baginda.
Terdahulu media melaporkan 21 individu terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar berhampiran Kampung Jemeri di Rompin.
Ringkasan AI
- Sultan Pahang menegaskan tiada istilah tanah adat yang membenarkan pendudukan tanah secara bebas
- Hak menduduki tanah Orang Asli hanya sah melalui pewartaan kerajaan mengikut Akta Orang Asli 1954
- Pendudukan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah kesalahan undang-undang
- Tanah Orang Asli yang diwartakan di negeri ini melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar
- 21 individu Orang Asli ditahan kerana menceroboh tanah milik Sultan Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

