Wanita dikerat: Anggota badan hilang mungkin dilarikan anjing, bercampur sampah

RANAU - Dua lagi bahagian anggota badan mangsa kes bunuh dan kerat yang masih belum ditemui dipercayai dibawa anjing atau kemungkinan bercampur dengan timbunan sampah sehingga menyukarkan usaha pencarian.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini pihaknya masih belum memperoleh petunjuk baharu bagi mengesan dua anggota badan berkenaan.
“Usaha mengesan dua lagi bahagian badan si mati masih diteruskan, namun sehingga kini kita belum menemui petunjuk.
“Kita percaya kemungkinan besar bahagian yang belum dijumpai itu telah dibawa anjing atau binatang liar, atau mungkin juga bercampur dalam sampah. Bagaimanapun, usaha mencari masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada malam Sabtu.
Jauteh berkata, siasatan kini berada pada peringkat akhir sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya.
“Beberapa tangkapan telah dibuat, kebanyakannya membabitkan ahli keluarga suspek utama bagi membantu siasatan. Reman terhadap suspek juga masih diteruskan.
"Sekarang ini siasatan berada dalam peringkat akhir untuk kita hantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mendapat arahan lanjut," jelasnya.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu di Taman Indah Permai, Sepanggar, seorang wanita berusia 44 tahun ditemui maut dengan bahagian badannya dikerat dan dibuang di kawasan pembuangan sampah.
Seorang lelaki berusia 71 tahun yang dipercayai tunang mangsa ditahan sebagai suspek utama.
Tiga lagi individu yang juga anak kepada suspek, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Setakat ini, dua anggota badan mangsa iaitu kaki kiri dan tangan kanan masih belum ditemui.
Ringkasan AI
- Dua lagi bahagian anggota badan mangsa kes bunuh dan kerat belum ditemui, dipercayai dibawa anjing atau bercampur dengan sampah
- Pesuruhjaya Polis Sabah belum temui petunjuk baharu untuk mengesan dua anggota badan berkenaan
- Usaha mencari masih diteruskan walaupun ada kemungkinan bahagian badan tersebut telah dibawa anjing atau bercampur dalam sampah
- Siasatan kes ini berada pada peringkat akhir sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwa raya
- Seorang wanita berusia 44 tahun ditemui maut dengan bahagian badannya dikerat, dan tunangnya berusia 71 tahun ditahan sebagai suspek utama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
