Che Tam dan sahabat di kandang

Che Tam rapat dengan haiwan ternakan sejak kecil.
Che Tam rapat dengan haiwan ternakan sejak kecil.
A
A
A

KUANTAN – Di sebuah kandang sederhana di Felda Lepar Hilir 2, Gambang, di sini seorang kanak-kanak perempuan memilih menghabiskan masa petangnya bersama sahabat istimewa iaitu seekor anak kerbau.

Nurul Afina Aqila Azman, 12, yang mesra dipanggil Che Tam mempunyai cara tersendiri menenangkan haiwan peliharaan keluarganya itu dengan mendodoikannya sebelum tidur.

Di bawah redup senja kampung, nyanyian lembutnya seolah-olah menjadi bahasa yang difahami haiwan tersebut.

“Selepas saya menyanyi lagu, Baby pasti akan lena,” katanya.

Momen sederhana itu mencuri perhatian ramai selepas rakaman Che Tam menepuk badan kerbau sambil menyanyi tular di media sosial.

Bagi Che Tam, kerbau bukan sekadar ternakan keluarga, tetapi teman setia yang membesar bersamanya sejak kecil.

Hubungan rapat antara seorang kanak-kanak perempuan dengan anak kerbau peliharaan keluarganya mencuri perhatian apabila haiwan itu dilihat perlu didodoikan sebelum tidur.

Che Tam seronok bermain dengan lembu dan kerbau dibela keluarganya.
Che Tam seronok bermain dengan lembu dan kerbau dibela keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Che Tam, Baby antara anak kerbau yang paling rapat dengannya, selain kerbau dewasa dikenali Bantut.

Katanya lagi, dia akan ke kandang untuk bermain, memujuk dan membawa haiwan-haiwan tersebut kembali ke kandang setiap hari.

"Selepas saya menyanyi lagu, Baby pasti akan lena, malah kedua-duanya iaitu Bantut dan anaknya, Baby suka didodoikan seumpama itu.

"Saya memang sayang sangat-sangat dengan semua haiwan ternakan ini dan membesar dengan semuanya dari kecil," katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, tular video berdurasi 15 saat memaparkan Che Tam menepuk badan seekor anak kerbau seolah-olah sedang mendodoinya ketika berada di kandang berhampiran rumahnya.

Che Tam lebih seronok meluangkan masa dengan haiwan peliharaannya.
Che Tam lebih seronok meluangkan masa dengan haiwan peliharaannya.

Rakaman yang menggunakan lagu Alahai Kacang Ketot itu meraih 1.5 juta tontonan serta lebih 40,000 tanda suka, sekali gus menggambarkan keakraban luar biasa antara kanak-kanak tersebut dengan haiwan ternakannya.

Video lain yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @chetam turut memaparkan Che Tam menunggang kerbau dan memanggil haiwan ternakan pulang ke kandang, sekali gus menarik perhatian warganet.

Che Tam berkata, keluarganya memelihara kira-kira 24 ekor kerbau selain beberapa haiwan lain, menjadikan kawasan kandang sebagai tempat dia menghabiskan masa lapang.

Walaupun rakan seusia lebih gemar bermain permainan video, dia yang merupakan anak tunggal lebih seronok meluangkan masa bersama haiwan ternakan yang dianggap sebagai sahabat setiap hari.

"Saya tidak takut untuk naik atas haiwan ternakan seperti kerbau untuk mengajak pulang ke kandang mereka. Ini rutin dilakukannya setiap hari," ujarnya lagi.

Bapanya, Azman Umar sebelum ini dilaporkan berkata, minat Che Tam terhadap kerbau bermula sejak kecil apabila keluarga mereka mewarisi kegiatan penternakan yang diusahakan sejak lebih dua dekad lalu.

Che Tam rapat dengan haiwan ternakan sejak kecil.
Che Tam rapat dengan haiwan ternakan sejak kecil.

Menurutnya, Bantut yang pernah mengalami kekurangan zat ketika kecil menjadi kerbau paling jinak dan rapat dengan anaknya.

"Sejak kecil lagi dia paling jinak dengan anak saya. Bantut bukan sekadar haiwan ternakan, tetapi sahabat karib Che Tam," katanya.

Tambah Azman, hubungan akrab itu turut membentuk sifat tanggungjawab dalam diri anaknya yang gemar membantu di kandang setiap kali pulang dari sekolah.

Malah, kasih sayang Che Tam terhadap haiwan ternakan pernah terserlah apabila dia terlalu sedih sehingga tidak berselera makan selepas kehilangan seekor kerbau kesayangannya beberapa tahun lalu sebelum keluarga membeli kerbau lain bagi mengembalikan keceriaannya.

Tambah Azman, memelihara haiwan bukan sekadar sumber rezeki, tetapi cara mendidik anak mengenal nilai kasih sayang dan tanggungjawab sejak kecil.

"Kalau nak pelihara haiwan, kena ajar dari kecil supaya haiwan itu percaya dan jinak," katanya.

Ringkasan AI

  • Di Felda Lepar Hilir 2, Gambang, seorang kanak-kanak perempuan menghabiskan petang bersama anak kerbau peliharaan
  • Nurul Afina Aqila Azman, 12 tahun menenangkan kerbau dengan menyanyi sebelum tidur
  • Video Nurul Afina bersama anak kerbau tular di media sosial, menarik perhatian ramai
  • Keluarganya memelihara kira-kira 24 ekor kerbau dan Nurul Afina gemar menghabiskan masa bersama haiwan ternakan tersebut
  • Azman Umar, bapa Nurul Afina berkata, minat anaknya terhadap kerbau bermula sejak kecil dan membentuk sifat tanggungjawab serta kasih sayang terhadap haiwan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!