Cari kaedah terbaik selesai masalah air secara menyeluruh - Rafizi

Rafizi (depan, dua dari kanan) dan Wan Rosdy (depan, dua dari kiri) bersama peserta yang hadir pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 bersama kerajaan Pahang pada Selasa.
Rafizi (depan, dua dari kanan) dan Wan Rosdy (depan, dua dari kiri) bersama peserta yang hadir pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 bersama kerajaan Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan bekerjasama mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, masalah bekalan air bukan sahaja berlaku di Kelantan dan Sabah, sebaliknya tumpuan penyelesaian secara menyeluruh juga perlu diberi perhatian kepada negeri lain.

Menurutnya, ia berikutan terdapat syarikat operator air di bawah kerajaan negeri menghadapi masalah dan kekangan kewangan untuk menaik taraf dan meningkatkan kualiti perkhidmatan air di negeri-negeri terlibat.

"Perkara ini telah dibincangkan bersama syarikat air negeri seluruh negara bagi mengenal pasti kemampuan kewangan mereka.

"Walaupun bidang kuasa air di bawah NRECC tetapi perancangan infrastruktur pula di bawah Kementerian Ekonomi, sebab itu kerjasama antara dua kementerian ini perlu untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi syarikat operator air di negeri-negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bersama kerajaan Pahang di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Rafizi berkata, proses perbincangan bersama pengawal selia, kementerian dan agensi terbabit turut akan dilakukan sebelum proses keputusan di peringkat kabinet.

"Kementerian Ekonomi dengan NRECC seterusnya akan membentangkan kepada kerajaan, pilihan yang boleh diambil kira bersesuaian dengan kemampuan kewangan kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan isu air ini," katanya.

Beliau berkata, secara dasarnya kerajaan akan pastikan perkhidmatan air di seluruh negara ditambah baik dalam tempoh dua tiga tahun akan datang dan memerlukan peruntukan yang lebih bagi tujuan itu.

"Sebab itu perkara ini perlu diteliti bagi mengenal pasti bentuk atau model kewangan yang boleh diguna pakai berdasarkan peruntukan diperlukan di setiap negeri.

"Kita perlu lihat kepada prosesnya, apa yang perlu dibuat, perlu ganti dan ditambah baik mengikut keutamaan," katanya.

Tambah beliau, penambahbaikan ini akan menjadi teras utama dalam tempoh dua tahun terakhir RMK12 dan diteruskan dalam RMK13.

"Tidak mungkin isu ini dapat selesai dalam tempoh dua tahun mengambil kira fasiliti dan panjang keseluruhan sistem paip dan loji ada di seluruh negara.

"Bagaimanapun jangkaan perkembangannya mampu mencapai 50 peratus dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang," jelasnya.