Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir dukacita atas pemergian Indiran

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam atas pemergian seorang anggota tentera, Truper K Indiran yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang malam tadi, baginda berdua menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang serta berharap mereka tabah dan sabar menghadapi ujian berat itu.
"Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar keluarga mendiang terus cekal dan bersatu hati.
"Serahkan segala urusan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut," menurut hantaran tersebut.
Baginda berdua turut menegaskan bahawa segala pengorbanan anggota keselamatan negara sentiasa dihargai dan dikenang.
"Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti mendiang kepada negara dan berharap agar keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketenangan. Dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini," menurut kenyataan itu.
Mendiang yang berusia 22 tahun sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, di sini, sebelum ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari lalu.
Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya ketika menerima rawatan.
Mayat mendiang dibawa ke Tanah Perkuburan India Batu Lanchang kira-kira jam 4.15 petang dan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan.
Mendiang disemadikan bersebelahan pusara bapanya, Mejar C Kayamboo, iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia yang maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft B200T sebelum ini.
Habis#
Ringkasan AI
- Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Truper K Indiran
- Mendiang meninggal dunia pada Khamis dan merupakan anggota tentera
- Keluarga diharapkan tabah dan serahkan siasatan pada pihak berwajib
- Pengorbanan anggota keselamatan negara dihargai dan dikenang
- Mendiang disemadikan bersebelahan pusara bapanya, Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

