Pembinaan Kolam Takungan Hiliran mampu selesaikan masalah air

Wan Rosdy melihat lokasi pembinaan ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan.
Wan Rosdy melihat lokasi pembinaan ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan.
A
A
A

PEKAN - Pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga dijangka dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang dialami lebih 33,000 penduduk di beberapa kawasan di Chini di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja pembinaan tersebut dijadualkan bermula pada September depan.

Menurutnya, projek tersebut bakal memanfaatkan penduduk di sekitar Felda Chini, Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan Gumum.

"Kini proses panggilan tender akan dibuat pada bulan ini (Jun) oleh pihak Felda.

"Projek pembinaan ORS dijangka bermula pada September ini dan proses pembinaan mengambil masa selama 12 bulan," katanya ketika membuat lawatan ke tapak Projek ORS Loji Rawatan Air Chini di sini semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Rosdy (tengah) bersama Najib (dua dari kanan) menunjukkan lokasi pembinaan ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan yang dijadualkan bermula pada September depan.
Wan Rosdy (tengah) bersama Najib (dua dari kanan) menunjukkan lokasi pembinaan ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan yang dijadualkan bermula pada September depan.

Wan Rosdy berkata, pembinaan kolam takungan berkenaan melibatkan peruntukan dana sebanyak RM18 juta yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 namun berlaku kelewatan semasa pemerintahan Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ORS yang bakal dibina itu berkemungkinan melibatkan saiz lebih besar berbanding yang diperuntukkan sebelum ini selepas mendapat persetujuan daripada Pengerusi Felda.

"Saiz diperuntukkan sebelum ini mampu menampung bekalan air selama 11 hari sahaja semasa musim kemarau.

"Saya telah meminta supaya membina ORS yang saiznya boleh menampung bekalan air hingga 22 hari semasa musim kemarau, jadi Pengerusi Felda yang hadir bersetuju untuk usahakan dengan peruntukan yang lebih ini," kata beliau.