Cuaca panas: Penduduk mula menyimpan air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 100 penduduk di Kuala Sungai di sini mula membuat persiapan awal dengan menyimpan bekalan air untuk kegunaan harian mereka akibat musim panas yang melanda negara ketika ini.

Penduduk Norazma Abdullah, 40, berkata, selama ini mereka hanya bergantung dengan dua tangki air sahaja yang terdapat di kampungnya bagi mendapatkan bekalan air untuk menampung kira-kira 2,000 liter air.

"Saya mula menyimpan air sejak seminggu yang lalu di dalam tong dan baldi, malah saya juga mengasingkan air dalam botol terpakai khas untuk kegunaan seperti memasak dan minum sebagai persediaan sekiranya bekalan air terputus.

"Berikutan ruangan rumah yang sempit dan terhad menyebabkan kami tidak dapat menyimpan air yang banyak," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Bagi Mat Yusof Ismail, 56, pula berkata, kedudukan kampung yang terletak di pinggir Sungai Nenggiri tidak memberi jaminan sebagai sumber alternatif untuk mendapat bekalan air bersih kerana air sungai itu agak keruh dan bimbang untuk menggunakannya.

"Kami terpaksa berjimat cermat menggunakan sumber dari telaga tiub ini bagi mengelakkan berlaku pembaziran," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau tidak menafikan bahawa ramai penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman di Gua Musang masih tidak mendapat bekalan air bersih dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

"Kebanyakan penduduk di kawasan ini masih menggunakan air tandak atau air yang menggunakan telaga tiub. Kami bimbang air tadahan tandak dan air yang menggunakan telaga tiub akan berkurangan dan menyebabkan bekalan air terputus.

"Saya nasihatkan agar kira-kira 15,000 penduduk di DUN Nenggiri yang menggunakan sumber air tandak dan telaga tiub untuk membuat persiapan awal hadapi musim panas dan ambil langkah berjaga-jaga dengan simpan air untuk kegunaan harian," katanya. - Bernama