Legam di luar, lembut di dalam

Enam jenis karipap terdiri daripada daging, daging keju, kambing, ikan, telur dan ayam yang ditawarkan kepada pelanggan.
Enam jenis karipap terdiri daripada daging, daging keju, kambing, ikan, telur dan ayam yang ditawarkan kepada pelanggan.
A
A
A

KUANTAN - Di sebalik populariti karipap kuning yang menjadi kegemaran ramai, muncul satu variasi unik mencuri perhatian penggemar kuih tradisional iaitu karipap hitam atau lebih dikenali sebagai ‘karipak itang’.

Meskipun rupanya kelihatan legam, kreativiti pasangan suami isteri, Amirul Azfar Ghani, 35, dan Tuan Fakhriah Tuan Kadir, 37, mencetuskan fenomena sehingga mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Amirul Azfar berkata, jualan di gerainya yang terletak di Jalan Beserah di sini menunjukkan peningkatan luar biasa selepas produk tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

“Pada peringkat awal, jualan hanya sekitar 100 hingga 200 biji sehari. Tetapi, selepas ada pihak datang membuat ulasan, permintaan melonjak sedikit demi sedikit sehingga mencecah 1,000 biji setiap hari.

“Jadi, bagi memastikan kelancaran operasi, saya perlu menggunakan khidmat enam tenaga kerja termasuk saya dan isteri untuk memenuhi pesanan pelanggan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, idea mengusahakan inovasi tersebut bermula selepas jualan cendol yang diusahakan sebelum ini merosot mendadak ekoran cuaca tidak menentu.

Menurutnya, mereka kemudian mencari alternatif dengan beralih kepada hidangan panas sebagai usaha mengekalkan kelangsungan perniagaan.

“Asalnya kami mahu buat warna biasa, tetapi selepas menonton satu video mengenai produk serupa di media sosial, kami nekad memberi kelainan.

“Warna gelap ini dipilih sebagai identiti kerana lokasi perniagaan kami berhampiran Pantai Batu Hitam,” ujarnya yang memulakan operasi sejak awal Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Amirul Azfar
Amirul Azfar

Bercerita lanjut, anak jati Kuantan ini menjelaskan, rupa paras legam pada kulit karipap tersebut dihasilkan menggunakan serbuk arang gred makanan yang selamat untuk dimakan, bukannya pewarna tiruan.

Ujarnya, ramuan itu serupa dengan bahan yang lazim digunakan dalam pembuatan roti burger hitam di pasaran.

Selain rupa yang unik, Amirul Azfar menjelaskan ‘karipak itang’ digemari kerana tekstur kulitnya yang rapuh tetapi kekal lembut di dalam, selain mempunyai imbangan rasa seimbang serta tidak berminyak.

Katanya, keunikan rasa itu terhasil daripada olahan inti yang disediakan sendiri oleh isterinya menggunakan resipi warisan arwah ibu mentua.

“Bagi memastikan kualiti terbaik, kami melalui tiga kali sesi percubaan sebelum benar-benar mendapat hasil yang ‘ngam’.

“Sebelum itu, kulit yang dihasilkan agak mengecewakan kerana mudah menyerap minyak dan kurang rapuh,” katanya yang menyerahkan kepada keluarga untuk menilai sebelum dijual kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Amirul Azfar memberitahu terdapat enam jenis iaitu daging, daging keju, kambing, ikan, telur dan ayam yang ditawarkan kepada pelanggan.

Jelasnya, perisa kambing dan ikan menjadi antara kegemaran ramai kerana rasanya yang lebih berempah dan tidak berbau.


Tuan Fakhriah menunjukkan enam jenis 'karipak itang' yang mendapat sambutan orang ramai.
Tuan Fakhriah menunjukkan enam jenis 'karipak itang' yang mendapat sambutan orang ramai.

Amirul Azfar menambah, harga setiap biji dijual antara RM3 hingga RM4, namun pihaknya turut menawarkan pilihan kombo bagi mereka yang datang bersama keluarga.

“Kami menyediakan Set A (RM14), Set B (RM17) dan Set C (RM23) yang menggabungkan pelbagai perisa bersama minuman percuma bagi set tertentu.

“Bagi peminat popia, kami turut menyediakan popia bergedil keju serta lamb sebagai menu tambahan,” ujarnya.

Melihat kepada sambutan memberangsangkan, Amirul Azfar kini merancang untuk memperkenalkan versi sejuk beku pada bulan Ramadan.

“Saiznya akan dikecilkan sedikit bagi memudahkan pelanggan menyimpan antara 10 hingga 15 biji dalam satu bekas,” katanya.

Melengkapkan pilihan juadah berbuka sepanjang bulan Ramadan, Amirul Azfar turut menawarkan menu roti john sebagai variasi tambahan kepada pelanggan.

Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan hidangan tersebut, gerainya mula beroperasi seawal jam 3 petang setiap hari.

Ringkasan AI

  • Karipap hitam atau 'karipak itang' adalah variasi unik yang mencuri perhatian di Kuantan
  • Pasangan suami isteri, Amirul Azfar Ghani dan Tuan Fakhriah Tuan Kadir, mencetus fenomena dengan jualan hingga 1,000 biji sehari
  • Rupa paras karipap hitam dihasilkan menggunakan serbuk arang gred makanan yang selamat untuk dimakan
  • 'Karipak itang' digemari kerana tekstur kulitnya yang rapuh tetapi lembut di dalam dengan imbangan rasa yang seimbang
  • Amirul Azfar merancang untuk memperkenalkan versi sejuk beku karipap hitam pada bulan Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!