Lelaki berlagak samseng ugut pasangan suami isteri akhirnya dicekup

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki berlagak samseng dengan mengugut pasangan suami isteri akibat salah faham di jalan raya dalam kejadian enam bulan lalu mengundang padah apabila dia akhirnya diberkas polis pada Selasa.
Suspek yang sebelum ini diburu berhubung kes ugutan jenayah itu ditahan selepas siasatan dijalankan susulan laporan dibuat mangsa pada 11 September tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, insiden itu berlaku ketika mangsa bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anak mereka dari sekolah.
“Siasatan mendapati sebuah kenderaan dipandu suspek secara tiba-tiba memotong kereta mangsa sebelum berhenti secara mengejut di hadapan mereka.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan kenderaan sebelum dia dan isterinya cuba mendapatkan penjelasan secara baik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, suspek bagaimanapun bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa.
Difahamkan, lelaki berkenaan turut memegang sebatang lampu kalimantang ketika melakukan perbuatan tersebut.
Mohd Rosdi berkata, hasil risikan dan maklumat yang dikumpulkan, polis berjaya mengesan serta menahan suspek pada 10 Februari lalu bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau dan bukan individu dikehendaki,” katanya.
Beliau turut memaklumkan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki itu adalah negatif bagi sebarang jenis dadah.
Menurutnya, suspek direman selama dua hari bermula 11 hingga 12 Februari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan kenderaan di jalan raya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan polis kerana mengugut pasangan suami isteri akibat salah faham di jalan raya enam bulan lalu
- Kejadian ini berlaku sewaktu mangsa pulang rumah selepas mengambil anak dari sekolah
- Suspek bertindak agresif dan memegang sebatang lampu kalimantang ketika mengugut
- Suspek mempunyai 10 rekod lampau tetapi ujian saringan dadah adalah negatif
- Kes ini disiasat mengikuti Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

