OKU dapat bantuan tapi tak cukup!

Maziratun akan pulang pada waktu rehat kerja bagi menguruskan suami yang ditinggalkan sendirian di rumah.
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebulan tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos perbelanjaan barang dapur.

Penerima bantuan kategori OKU, Maziratun Jantan, 47, berkata, kos sara hidup semakin tinggi menyebabkan peningkatan kos perbelanjaan harian.

Menurutnya, dia menerima bantuan JKM sejak 2012 selepas mengalami sakit tulang belakang kronik akibat terjatuh tangga ketika bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pangsapuri dekat sini.

"Suami saya Mohd Sapian Ismail uga merupakan OKU dengan sakit yang sama kerana terbabit kemalangan dan sudah 13 kali menjalani pembedahan.

"Suami tak terima sebarang bantuan bulanan dan wang bantuan JKM RM350 memang tak cukup tampung barang dapur kami berdua.

"Tapi saya tetap bersyukur sekurang-kurangnya JKM sudah ringankan beban cuma kalau orang lain yang ada anak atau tanggungan lain, jumlah RM350 terlalu sedikit buat mereka," katanya.

Maziratun berkata, walaupun sakit tulang belakang, dia tiada pilihan apabila terpaksa bekerja sebagai tukang cuci untuk menambah pendapatan.

Menurutnya, pergerakan suami terbatas menggunakan kerusi roda dan mereka berdua masih perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan.

"Selain sakit tulang belakang, saya juga hidap leukemia dan tak lama lagi suami perlu jalani satu lagi pembedahan.

"Alhamdulillah, saya turut terima bantuan zakat RM250 sebulan.

"Kena buat kerja lain untuk tampung kos perbelanjaan dan tidak hanya boleh bergantung semata-mata kepada bantuan," katanya.

Maziratun juga menerima bantuan daripada Perkeso sebanyak RM37 sebulan selepas terbabit kemalangan ketika bekerja.

Sementara itu suaminya, Mohd Sapian berkata, dia tiada berupaya untuk bekerja dan semua bantuan diterima atas nama Maziratun sebagai sumber pendapatan mereka.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gigih cari rezeki walaupun bertongkat]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Naikkan bantuan jadi RM500']

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak amal konsep negara kebajikan]

[ARTIKEL BERKAITAN: 3,617 individu di Kuala Lumpur terima elaun pekerja cacat]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kadar bantuan JKM naik bermula 2018]