Siri H terima pengiktirafan MBOR

CYBERJAYA– Kejayaan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) Siri H yang mencatat nilai RM91.2 juta baru- baru ini mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan itu diberikan bagi kategori Highest Cumulative Bid Value for a Vehicle Registration Number Series atau nilai bidaan terkumpul tertinggi bagi satu siri nombor pendaftaran kenderaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kejayaan pelaksanaan NPI Siri H yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Menurutnya, sebanyak 34,664 pembida menyertai bidaan menerusi platform JPJeBid, dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida sepanjang tempoh lima hari.
" Nombor pendaftaran H1 muncul sebagai bidaan tertinggi apabila mencatat nilai RM10.77 juta," katanya di Majlis Apresiasi Kejayaan Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa Siri H di sini, pada Selasa.
Pada majlis itu, MBOR yang diwakili Megat Faris Hussien Megat Muzaffar Shah menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Aedy Afdly dan turut disaksikan disaksikan pegawai kanan JPJ.
NPI Siri H dilancarkan pada 14 September lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, bersempena sambutan Hari Malaysia.
Kejayaan itu turut mengatasi rekod kutipan terdahulu JPJ menerusi NPI Siri FF yang mencatat kira-kira RM34 juta.
Ujar Aedy Fadly, pengiktirafan MBOR berkenaan bukan sahaja mengiktiraf pencapaian kutipan bidaan, malah mencerminkan komitmen JPJ dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan serta pendekatan strategik.
"Angka ini bukan sekadar mencerminkan sambutan luar biasa masyarakat, tetapi turut membuktikan keupayaan JPJ melaksanakan inisiatif berimpak tinggi melalui platform digital yang cekap dan telus.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu rekod untuk dibanggakan, tetapi lambang keupayaan warga JPJ menterjemahkan sebuah idea kepada kejayaan yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

