Bantuan bulanan RM5.8 juta buat warga emas, pesakit terlantar

Said (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada wakil St John Ambulans Kelantan Timur Pasir Puteh,
Shahenoreni Ahmad Shukry (tiga dari kiri).
Said (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada wakil St John Ambulans Kelantan Timur Pasir Puteh, Shahenoreni Ahmad Shukry (tiga dari kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan (JKM) menyalurkan bantuan berjumlah RM5.8 juta sebulan kepada 12,166 warga emas dan pesakit terlantar di negeri ini.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, rekod semasa itu merangkumi 9,034 penerima bantuan kategori warga emas berusia 60 tahun ke atas manakala selebihnya 3,132 ialah pesakit terlantar dewasa, kanak-kanak dan bayi.

“Mereka yang sakit antaranya menghidap kanser, strok dan kemalangam selain tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Setiap daripada mereka terima RM500 sebulan dan diberikan kepada waris yang menjaga bagi memudahkan urusan penjagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Komuniti Home Nursing Care St John Ambulans Malaysia Kelantan.

Beliau berkata, rekod penerima bantuan JKM akan disemak dan dinilai setiap tiga bulan bagi memastikan diterima oleh golongan yang layak.

Kesemua peserta bergambar bersama Said (tengah).
Kesemua peserta bergambar bersama Said (tengah).

“Setakat ini mana-mana individu yang layak dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan akan menerima bantuan daripada JKM.

“Kerajaan juga tidak menetapkan had untuk membantu rakyat melalui jabatan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Said berkata, JKM Kelantan dan St John Ambulans bekerjasama menganjurkan kursus bagi memberi ilmu pengetahuan dan kaunseling kepada penjaga pesakit terlantar bermula tahun 2019 di setiap daerah iaitu di Kota Bharu, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

“Ceramah disampaikan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia dan ahli St John Ambulance kepada peserta yang terdiri daripada Sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah JKM, waris pesakit dan agensi kerajaan.

“Kursus seterusnya akan diadakan di Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai,” katanya.