'Takut nak duduk tapi tak mampu pindah'

Kedudukan dinding tercabut terletak di lokasi sama cuma aras berbeza-beza. (Gambar kecil: Md Nadzaruddin, Zakaria)
Kedudukan dinding tercabut terletak di lokasi sama cuma aras berbeza-beza. (Gambar kecil: Md Nadzaruddin, Zakaria)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian dinding tercabut akibat ribut Jumaat lalu di Perumahan Awam (PA) Loke Yew menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan.

Seorang penduduk, Md Nadzaruddin Md Ali, 48, berkata, walaupun takut kejadian berulang, dia berat hati untuk berpindah ke tempat lain kerana kos sewa yang murah.

Nadzaruddin berkata, dia tinggal di PA itu sejak bujang hingga sudah berkeluarga dengan empat orang anak.

"Saya tahu sudah beberapa kali kejadian dinding tercabut tapi kena fikir banyak kali untuk pindah kerana di sini banyak kemudahan, dekat dengan sekolah dan klinik.

"Kalau saya pindah, ia akan libatkan kos lain. Agak susah buat saya yang menyara hidup dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan tidak menentu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan dinding kayu sebuah unit di tingkat 12 PA Loke Yew tercabut ketika ribut melanda beberapa kawasan sekitar ibu negara jam 7 petang.

Nadzaruddin berkata, bangunan yang telah berusia menyebabkan ramai penduduk di situ memohon untuk berpindah ke perumahan baharu di Bukit Jalil.

"Mereka yang pindah itu kemudian minta tukar semula ke sini sebab kemudahan di sana jauh-jauh berbanding di sini semua kemudahan senang.

"Saya rasa bangunan ini masih boleh diduduki cuma masalah dinding kayu tercabut ini boleh diatasi dengan gantian struktur batu yang lebih kukuh. Tapi jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) arahkan pengosongan, sebagai penduduk kita kena akur," katanya.

Bagi pesara, Zakaria Omar, 61, berharap DBKL boleh membuat kajian aspek keselamatan bangunan tersebut dan mengambil langkah perlu bagi mengelak insiden tidak diingini.

"Kejadian sama pernah berlalu pada 2014 dan unit terlibat terletak di lokasi sama cuma aras berbeza-beza.

"Usia bangunan memang dah lama dan patut ganti yang mana uzur. Cuma semasa kejadian angin memang terlalu kuat, hari-hari biasa tiada insiden sedemikian namun jika ada keperluan untuk pindah kita kena akur," katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT PA Loke Yew, Ashraaf Din berkata, aspek keselamatan penduduk ketika ini agak membahayakan susulan struktur dinding kayu sudah mulai reput yang boleh mengundang kepada bencana.

Ashraaf
Ashraaf

"Penduduk telah lama buat permintaan supaya dinding kayu ini ditukar ke batu, namun kekangan kewangan menjadi faktor kerja tersebut tidak dapat dilaksanakan. Sepatutnya ia telah dibuat pada 2014, ketika kejadian pertama berlaku.

"Bagaimanapun, pertemuan dengan DBKL pada Sabtu memaklumkan yang gantian dinding tersebut akan dilaksanakan dan itu cukup memberikan kelegaan kepada penduduk," katanya.

Mengulas lanjut katanya, perkara tersebut akan diumumkan oleh DBKL sendiri dalam masa terdekat.

Katanya, PA Loke Yew mula diduduki sejak 1969 dan menghadapi banyak isu penyelenggaraan kerana bangunan telah berusia dan uzur.

Bagaimanapun katanya, banyak kerja pembaikan telah dilaksanakan antaranya pembetungan dan lif yang telah diberikan perhatian sewajarnya.