Wakaf Selangor rancang bina hospital wakaf pertama di negara ini - Syed Zainal

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berhasrat membangunkan hospital wakaf pertama di negara ini bagi membantu menangani kekurangan katil pesakit, selain menyediakan kemudahan rawatan khususnya kepada golongan miskin dan asnaf.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, beberapa lokasi strategik termasuk di Bangi, Shah Alam dan Kota Kemuning dikenal pasti sebagai tapak berpotensi untuk pembangunan hospital itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, perancangan itu masih di peringkat awal dan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan di bawah kerajaan negeri bagi meneliti kaedah pembangunan serta kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan.
"Usaha ini merupakan antara aspirasi PWS untuk memperluaskan manfaat wakaf dalam sektor kesihatan sekali gus membuktikan instrumen ini bukan hanya tertumpu kepada pembinaan masjid dan surau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Kempen Year End Wakaf anjuran PWS dengan kerjasama Bank Islam di sini pada Rabu.
Syed Zainal menjelaskan, ketika ini, terdapat tanah strategik, namun sedang berbincang dengan agensi di bawah kerajaan negeri Selangor.
"Belum ada keputusan muktamad (pembangunan projek hospital wakaf), tetapi harapan kita kalau boleh mahu adakan hospital wakaf di negeri ini.
"Bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pesakit, tetapi memberi manfaat kepada golongan miskin dan asnaf," ujar beliau.
Syed Zainal menjelaskan, PWS turut merancang membangunkan beberapa aset wakaf lain termasuk rumah penjagaan warga emas susulan peningkatan keperluan kemudahan berkenaan seiring perubahan demografi penduduk negara.
Katanya, dua lokasi dikenal pasti bagi projek itu iaitu di Kota Kemuning yang menyasarkan golongan berpendapatan sederhana, manakala satu lagi di Jenjarom untuk golongan B40 dan ke bawah.
Menurutnya, pembangunan di Kota Kemuning berpotensi merangkumi kemudahan pusat perubatan termasuk perkhidmatan dialisis serta penjagaan individu yang mengalami demensia.
Sementara itu, katanya, projek di Jenjarom pula dicadangkan menggunakan konsep pondok moden yang bukan sahaja menyediakan penjagaan warga emas, malah turut memberi ruang kepada penghuni menjalani aktiviti harian dan pengisian ilmu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PWS menyasarkan kutipan wakaf tunai dan wakaf korporat sebanyak RM100 juta tahun ini menerusi usaha memperluaskan kesedaran serta penyertaan masyarakat dan sektor korporat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

