Sumbangan kecil, impak besar kepada masyarakat

KUALA LUMPUR - Ada insan yang tidak pernah muncul di pentas penghargaan, tidak dikenali di media sosial dan tidak mengharapkan namanya disebut, namun kehadiran mereka mampu mengubah kehidupan orang lain.
Mereka mungkin sekadar membantu komuniti, membimbing individu yang memerlukan sokongan atau berusaha memastikan kemudahan awam lebih mesra pengguna, tetapi sumbangan itu mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada yang disangka.
Hakikat itu menjadi antara mesej utama kempen Sebut Namamu yang mengetengahkan 65 kisah rakyat Malaysia bersempena ulang tahun ke-65 KHIND, dengan memberi penghormatan kepada individu yang membawa perubahan positif melalui peranan masing-masing.
Kempen yang bermula pada Ogos lalu itu mengangkat mereka sebagai Everyday Champions atau Juara Setiap Hari, sekali gus mengingatkan masyarakat bahawa nilai seseorang tidak semestinya diukur berdasarkan populariti atau kedudukan.
Pengarah Eksekutif KHIND Group, Cheng Duo-Ren berkata, sumbangan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan seharian.
"Melalui kempen Sebut Namamu, kami berharap dapat mengajak masyarakat melihat kejayaan dan kemajuan dari sudut yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.
"Ia merupakan peluang untuk kita menghargai peranan setiap individu dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin, saling menyokong dan berdaya maju," katanya.
Antara kisah yang diketengahkan ialah Dr Moventhiran Ramakrishnan yang berjaya mengangkat taraf kehidupan keluarganya melalui pendidikan sehingga menjadi pakar bedah saraf.
Turut diberi perhatian ialah Juairiah daripada GOLD (Generating Opportunities for Learning Disabilities) yang komited membimbing golongan neurodivergen menerusi kelas dan tugasan yang dilaksanakannya.
Bagi Rusydi Rosli pula, usaha meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan akses surau awam dilakukan melalui perkongsian ulasan di media sosial, manakala Shazwan Wong Abdullah menyumbang kepada pembangunan bola sepak akar umbi sebagai jurulatih.
Kisah Uncle Leslie yang menyertai syarikat kecantikan tempatan Dododots sebagai pelatih senior selepas berpengalaman sebagai pengurus jualan turut memperlihatkan bahawa proses belajar dan menyesuaikan diri tidak mengenal usia.
Setiap kisah membawa mesej tersendiri mengenai ketabahan, keprihatinan dan keberanian untuk terus menyumbang, walaupun dalam ruang yang kecil.
Setakat ini, 41 daripada 65 kisah yang disasarkan telah diterbitkan, dengan kempen berkenaan meraih lebih sejuta tontonan di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads.
Lebih 100 penyertaan turut diterima daripada orang ramai yang mahu berkongsi pengalaman atau mencalonkan individu lain yang dianggap layak mendapat pengiktirafan.
Orang ramai boleh mengemukakan pencalonan menerusi www.khindrto.com.my/sebut-namamu sebelum atau pada 30 November ini.
Sebanyak lima individu akan dipilih sebagai pemenang selepas kesemua 65 kisah diperkenalkan, menerusi proses pengundian dan pengadilan pada Disember ini.
Kempen itu bukan sekadar meraikan individu terpilih, sebaliknya membawa peringatan bahawa masyarakat yang lebih prihatin bermula apabila setiap orang bersedia melihat, menghargai dan menyebut nama mereka yang selama ini berusaha melakukan kebaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
