Bajet Selangor 2027: Pemuda Pas desak peruntukan MAIS, JAIS ditingkatkan

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor didesak meningkatkan peruntukan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam pembentangan Bajet Selangor 2027 bagi memperkukuh usaha menangani ancaman akidah serta menaik taraf prasarana sekolah agama.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu penting bagi membolehkan MAIS mempergiat usaha menangani pelbagai ancaman akidah, termasuk penularan fahaman liberalisme, sekularisme, ajaran sesat dan dakyah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurutnya, cabaran berkenaan semakin kompleks dan memerlukan sokongan dana yang mencukupi bagi membolehkan MAIS melaksanakan pendekatan lebih proaktif, termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT).
"Cabaran yang semakin kompleks ini memerlukan sejumlah dana yang besar bagi MAIS menjayakan misi membanteras setiap ancaman terhadap akidah umat Islam, khususnya di Selangor.
"Pada masa sama, kita turut berdukacita melihat keadaan sekolah agama di bawah seliaan JAIS yang masih belum berada pada tahap memuaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Aubidullah Fahim berkata, keadaan prasarana yang kurang memuaskan menyebabkan sebahagian murid terpaksa mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah yang kurang kondusif, selain tidak dilengkapi kemudahan teknologi dan penyelenggaraan infrastruktur yang baik.
Jelasnya, generasi al-Quran serta bakal pewaris kepimpinan agama perlu dipersiapkan dengan penguasaan ilmu yang mendalam melalui kurikulum dan kokurikulum, selain disokong persekitaran pembelajaran yang selesa.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri perlu menyediakan bantuan kewangan secara langsung yang lebih besar kepada sekolah agama bagi membiayai kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf prasarana.
"Isu prasarana ini semakin mendesak memandangkan JAIS kini dalam fasa persediaan bagi menyelaraskan kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun bermula kalendar akademik akan datang.
"Dasar berkenaan menuntut penambahan kapasiti bilik darjah yang sangat mendesak," katanya.
Beliau mempersoalkan kemampuan sekolah-sekolah di bawah JAIS menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif sekiranya tiada suntikan peruntukan tambahan yang mencukupi daripada kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
