Kes positif Covid-19 melebihi 7,000

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 di negara ini kini melebihi 7,000 apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 31 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 31 kes baharu, 10 merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan.

"Seramai 10 orang warga asing disahkan positif dalam penularan tempatan tersebut," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pertambahan kes baharu tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 7,009 kes.

"Seramai 1,189 kes masih dirawat di hospital dengan 11 kes di unit rawatan rapi dan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, seramai 60 pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 5,706 bersamaan dengan 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Justeru, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kes kematian berkaitan Covid-19 kekal sebanyak 114 kes selepas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan tidak merekodkan kes baharu.