Ketua Pengarah Pendidikan terima Anugerah Inspirasi Cuepacs

Zulkapli (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Inspirasi Cuepacs kepada wakil Datuk Pkharuddin Ghazali sempena sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya pada Isnin.
Zulkapli (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Inspirasi Cuepacs kepada wakil Datuk Pkharuddin Ghazali sempena sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali menerima Anugerah Inspirasi Cuepacs sempena Hari Pekerja 2023.

Beliau merupakan salah seorang daripada 10 penerima Anugerah Cuepacs dan penganugerahan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya pada Isnin.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengucapkan tahniah kepada Pkharuddin di atas penganugerahan berkenaan menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

“Pkharuddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya dan beliau telah berkhidmat selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Bukan itu sahaja, beliau juga berpengalaman luas dalam kepimpinan dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Dasar dan Kurikulum), Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Pkharuddin juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan serta Penolong Pengarah Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Majlis sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 turut dihadiri oleh Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan, barisan Ketua Setiausaha Kementerian dan ramai lagi.