Lebih 60,000 individu ditahan kes dadah, racun

Antara peralatan memproses dadah yang dirampas menerusi serbuan di sekitar Perak, April lalu. Foto: Polis Perak
Antara peralatan memproses dadah yang dirampas menerusi serbuan di sekitar Perak, April lalu. Foto: Polis Perak
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lebih 60,000 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan racun menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berkata, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

"JSJN berjaya menangkap seramai 62,132 orang di atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, 128 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Hasil tindakan dan operasi ini, polis telah merampas 7,917 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,379 liter pelbagai jenis cecair dadah.

"JSJN turut merampas sebanyak 31,856 kg daun ketum, 21,243 liter air ketum serta lapan batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan keseluruhan bernilai RM213 juta," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi JSJN pada Khamis.

Antara dadah jenis ganja yang dirampas polis menerusi operasi di sekitar ibu negara, April lalu.
Antara dadah jenis ganja yang dirampas polis menerusi operasi di sekitar ibu negara, April lalu.

Tambah kenyataan itu, seramai 2,669 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut seramai 1,533 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Dalam tempoh itu juga, JSJN berjaya menumpaskan 118 sindiket dadah yang terdiri daripada 366 orang termasuk empat ahli kimia.

Katanya, empat buah makmal dadah haram juga berjaya dibongkar.

"Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket bernilai RM32.8 juta disita manakala sebanyak RM2.7 juta nilai harta telah dilucuthak," katanya.

Tiga buah kenderaan milik sindiket yang disita menerusi serbuan di sekitar Perak, April lalu. Foto: Polis Perak
Tiga buah kenderaan milik sindiket yang disita menerusi serbuan di sekitar Perak, April lalu. Foto: Polis Perak

Selain itu, JSJN tegas bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Seramai 188 penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah di mana empat daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," jelasnya.

Jelas JSJN, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.