Didenda salah guna surat kebenaran bekerja

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KLANG - Dua lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan surat kebenaran bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Lim Jia Jian, 21 dan Liang Gu Wen, 23, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka ditahan kerana ingkar PKP iaitu bergerak tanpa alasan munasabah dalam kawasan yang diwartakan dengan tujuan bukan dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan kedai makan di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang pada jam 2 petang, 19 April lalu.

Mengikut fakta kes, selepas ditahan dua pemuda berkenaan diminta untuk menunjukkan bukti surat perakuan daripada majikan.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan, majikan mengesahkan surat itu hanya sah pada hari bekerja.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah peraturan 11 (1) peraturan yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ia memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh ini merupakan antara 47 individu yang didakwa di mahkamah yang sama, atas pertuduhan ingkar PKP antara 14 hingga 25 April lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu didapati melakukan kesalahan itu di Taman Sentosa, Jalan Batu Nilam, Pelabuhan Klang dan Jalan Bukit Kerayong, Kapar.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) dan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut peraturan 11 (1) peraturan sama, memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afiq Zuber memohon tertuduh diberikan hukuman setimpal sebagai menjadi pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama di masa depan.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatan tersebut dan merayu agar menerima hukuman ringan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman RM1,000 atau tiga bulan penjara selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.