Lelaki didenda RM200,000, duduki tanah kerajaan secara haram

Tertuduh diiringi keluar selepas mengaku bersalah dan didenda di Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Rabu atas dua pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Tertuduh diiringi keluar selepas mengaku bersalah dan didenda di Mahkamah Sesyen di Kuantan pada Rabu atas dua pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia sebuah syarikat perlombongan didenda RM200,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sah pada Februari dan April lalu.

Tertuduh, Saharudin Sa'ya, 50, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda RM100,000 bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan Hakim, Azman Mustapha.

Sementara itu, tujuh jentera termasuk jengkaut dan lori yang disita di lokasi dilucutkan hak di bawah Seksyen 426C (3) Kanun Tanah Negara 1965.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Pengarah Pendakwa raya Negeri Pahang, Shahrizat Ismail, tertuduh didakwa menduduki tanah berasingan yang terletak bersebelahan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas), Kampung Sungai Ular di sini, pada 13 Februari dan 5 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes dikemukakan, pegawai penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah membuat pemantauan di lokasi itu dan memeriksa jentera termasuk lori membawa muatan disyaki pasir silika yang berada di kawasan tersebut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara bagi mengenal pasti sama ada tanah yang diduduki itu tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Bagaimanapun, hasil semakan agensi berkaitan mendapati tiada sebarang kelulusan atau kebenaran diberikan untuk menduduki kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Siasatan ke atas pemandu jentera mendapati mereka menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir silika di kawasan itu atas arahan tertuduh.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah denda yang paling minimum ke atasnya.

Alasannya, dia hanya bekerja di syarikat tersebut dan selepas ditahan dia tidak bekerja hingga hilang sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

Pada masa sama, dia juga merayu agar jentera yang disita dikembalikan memandangkan ia disewa dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun pihak pendakwaan dalam hujahnya memohon hukuman yang setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran memandangkan kesalahan itu berlaku dua kali di lokasi berdekatan.

Shahrizat berkata, perbuatan itu satu kesalahan serius kerana merugikan kerajaan negeri selain boleh merosakkan alam sekitar.