4 kes salah guna kuasa terhadap Muhyiddin wajar diketepikan - Peguam

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan bagi pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa semua pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri ini, tidak mendedahkan perincian kesalahan mengikut undang-undang.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menghujahkan demikian ketika prosiding pendengaran permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini, bagi membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Hisyam yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tanpa pendedahan itu, empat pertuduhan yang dibuat terhadap anak guamnya wajar untuk diketepikan.

Ini kerana beliau berkata, perkara berkenaan menyebabkan Muhyiddin dibiarkan untuk meneka dan membuat spekulasi berhubung dakwaan menyalah gunakan kedudukan.

Oleh itu beliau berkata, ia jelas menunjukkan suatu penyalahgunaan proses keadilan oleh pihak pendakwaan malah konsep proses keadilan telah dilanggar kerana terlalu tergesa-gesa, susulan peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.

"Ini menyebabkan anak guam tidak dapat memberi arahan tepat kepada barisan peguam, secara tidak langsung mencacatkan penyediaan pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tiada pelanggaran hak terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai mana peruntukkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Muhyiddin telah diberikan prosedur yang sama seperti dengan tertuduh kes lain maka tidak timbul isu diskriminasi.

"Perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah elemen di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai.

“Adalah suatu yang pra matang untuk menghujahkan mengenai cara kesalahan itu perlu dijelaskan sedangkan keterangan daripada saksi masih belum didengar,” katanya.

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Prosiding bersambung jam 2.30 petang ini dengan pihak pendakwaan menyampaikan hujahan bagi kes itu.