Taktik bawa ketum naik lori logistik tak menjadi

Daun ketum yang disorok dalam kotak dibawa menggunakan lori yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
Daun ketum yang disorok dalam kotak dibawa menggunakan lori yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
A
A
A

TELUK INTAN - Polis berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki membawa daun ketum menggunakan lori milik sebuah syarikat logistik untuk melepaskan diri daripada sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Taktik itu dikesan menerusi satu rondaan pemantauan Ops Covid-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di persimpangan Jalan Ferry - Hutan Melintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dalam rondaan sekitar jam 6.15 petang itu, pegawai dan anggota terlibat telah menahan sebuah lori logistik dipandu seorang lelaki tempatan untuk tujuan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori berkenaan telah menemui beberapa kotak yang di dalamnya berisi daun ketum dianggarkan seberat 17.8 kilogram.

"Suspek dikesan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membawa barangan berkenaan menggunakan lori yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ini," katanya.

Menurutnya, hasil tangkapan lelaki itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Chenderong Balai iaitu tempat bekalan daun ketum terbabit diperoleh.

"Serbuan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 57 tahun, turut dirampas beberapa plastik berisi daun ketum," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 3(1)Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)( no 3)2020.

"Selain daun ketum, polis turut merampas lori yang digunakan dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM85,000," katanya.