Perangi korupsi, merdekakan diri daripada rasuah

Rakyat diseru bangkit melawan, menolak dan bebaskan diri daripada rasuah. Gambar kecil: Hamdan Daniel
Rakyat diseru bangkit melawan, menolak dan bebaskan diri daripada rasuah. Gambar kecil: Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya jijik rasuah telah lama mencengkam dan seolah-olah menjadi duri dalam daging, sehinggakan individu yang terpalit dengan kes terbabit kelihatan seperti 'biasa', malah tiada rasa penyesalan.

Terpanggil melihat situasi berkenaan, Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, senario itu memperlihatkan masyarakat masih lagi belum merdeka sepenuhnya daripada rasuah.

Sehubungan itu, menjelang Hari Kemerdekaan, beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama merdekakan diri sendiri, keluarga dan masyarakat daripada perbuatan tidak bermoral tersebut.

"Ini bukanlah usaha berasingan, sebaliknya menuntut tangggungjawab daripada segenap masyarakat Malaysia untuk merdekakan Malaysia daripada rasuah.

"Ayuh jangan berlengah lagi. Merdeka sudah lama kita rasai, namun merdeka daripada rasuah belum lagi kita rasai sepenuhnya. Marilah rakyat Malaysia bangkit melawan, menolak dan bebaskan diri daripada rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun sukar untuk merealisasikan hasrat itu namun usaha membasmi rasuah tidak boleh dihentikan.

"Jika dahulu kita dijajah oleh bangsa asing. Kini keadaan berbeza di mana masih ada lagi golongan yang dijajah dek rasuah.

"Nampak seperti sukar tapi tidak mustahil. Maka ambillah keazaman dan roh kemerdekaan ini untuk sama-sama membebaskan rasuah sehingga ke akar umbi.

"Jangan berhenti selagi usaha kita belum selesai. Marilah kita dari segenap masyarakat Malaysia hapuskan rasuah," katanya.