Padah 'pilih' klinik jauh, suami isteri didakwa ingkar PKP

Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Tindakan sepasang suami isteri yang sengaja 'memilih' klinik di daerah Hulu Terengganu mengundang padah apabila ditahan sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Zahari Che Mat, 42, bersama isterinya, Aishah Ismail, 29, yang tinggal di Kampung Seberang, Bukit Payong, di sini mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain iaitu di jalan tutup sekatan jalan raya 4 dan sekatan jalan raya 5, di Kampung Tok Gebok, Ajil, Hulu Terengganu, jam 2 petang pada 15 April lalu.

Pasangan kepada tiga anak ini didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh untuk jatuh hukum yang akan dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Mahkamah turut membenarkan mereka diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Selain itu, tertuduh, Suhardi Mukhtar, 41, dan Sayed Alias Tuan Chik turut mengaku salah atas pertuduhan sama yang didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Hulu Terengganu, jam 10 pagi, pada 17 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Manakala seorang lagi tertuduh, Mohamad Azmi Muhamad, 21, mengaku salah tidak mematuhi isyarat yang diberi pegawai polis dalam sekatan jalan raya di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 6 petang, pada 15 April lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, pesalah boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan ketiga-tiga tertuduh direkodkan, mahkamah juga menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh jatuh hukum di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu selain membenarkan mereka diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.