Boleh pulang tetapi kuarantin wajib dahulu: Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyatakan tiada halangan bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk pulang ke negara ini tetapi mereka perlu mengikut syarat dan standard operasi prosedur (SOP) untuk dikuarantin wajib.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sama seperti proses dilalui oleh ramai rakyat negara ini yang terkandas di luar negara seperti India.

Menurutnya, setakat ini tidak ramai rakyat Malaysia yang berada di Singapura pulang ke negara ini melalui Johor.

"Walaupun terdapat kira-kira 2,000 orang kemasukan ke Singapura dari Malaysia tetapi 90 peratus daripadanya ialah perkhidmatan logistik yang membawa barangan segar ke negara itu. Rakyat Malaysia yang bekerja di sana pulang sekitar 10 peratus iaitu 200 orang sehari.

"Setakat hari ini mereka yang pulang dari Singapura disaring dan dikuarantin di mana-mana pusat kuarantin seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang akhbar (Non-Helath) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun kerajaan Singapura melaksanakan pengawalan pergerakan terhadap rakyatnya tetapi ia tidak berlaku secara keseluruhan dengan beberapa perkhidmatan melibatkan keperluan asas masih beroperasi.

"Masih ramai rakyat Malaysia yang bekerja. Seperti yang disepakati bersama kerajaan Malaysia dan Singapura, rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu diberikan tempat tinggal dan bantuan makanan. Setakat hari ini kita tidak nampak kemasukan secara beramai-ramai dari Singapura ke Malaysia.

"Namun kita bersedia, sekiranya ada kemasukan pulang rakyat Malaysia dalam jumlah yang besar. Bagaimanapun Kementerian Sumber Manusia Malaysia telah berunding dengan kerajaan Singapura, jika mahu membenarkan pekerja negara ini pulang, ia perlulah dilakukan secara berperingkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika sekarang terdapat kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Singapura yang ingin pulang, kerajaan akan menguruskan kemasukan secara berperingkat.

"Ia bagi memastikan pusat kuarantin kita bersedia. Saya percaya rakyat kita masih lagi bekerja di Singapura pada masa ini," katanya.