Ismail Sabri gagal bezakan idealisme dengan 'uslub' - Puad

Ismail Sabri, Mohd Puad Zarkashi
Ismail Sabri, Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai gagal membezakan antara idealisme dengan kaedah atau cara berjuang (uslub).

Kenyataan berkenaan dibuat bagi menjawab dakwaan bekas Naib Presiden UMNO itu bahawa antara punca penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO adalah apabila mereka mentafsirkan parti itu telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

Jelas Mohd Puad, Ketua UMNO Bahagian Bera itu juga silap kerana parti tidak pernah mengubah idealisme perjuangan, malah kekal dengan perjuangan Islam dan Melayu.

“Bahkan UMNO meminda perlembagaan parti di mana Islam diletakkan paling atas.

“Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub). Uslub boleh berubah mengikut keperluan semasa. UMNO tidak mengubah dasar.

“Menyertai Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme. Ia adalah uslub perjuangan. Masa berubah, maka cara berpolitik juga berubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri pada Sabtu menyatakan, salah satu bukti pengundi mentafsirkan parti itu telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal adalah apabila kepimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.

Lebih memburukkan keadaan, beliau berkata, apabila kepimpinan tertinggi parti itu mengheret UMNO untuk bersama DAP malah menggesa supaya jentera bekerja dan mengundi parti berkenaan dalam pilihan raya.

Artikel Berkaitan: