Bersatu tiada halangan berdamai selagi ruang kritikan dibuka

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada sebarang halangan untuk berdamai dengan Kerajaan Perpaduan selagi diberi ruang untuk memberi kritikan membina demi kebaikan bersama.

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, bagaimanapun perdamaian itu dikhuatiri akan menyebabkan pihak pembangkang hilang suara memberi teguran dan pandangan.

Beliau berpendapat, jika itu yang berlaku pihaknya tidak bersetuju untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuka lembaran baharu dengan Kerajaan Perpaduan.

“Apapun perjanjian, jika demi kepentingan rakyat, ekonomi dan pembangunan negara saya rasa tidak ada masalah malah mengalu-alukannya kerana ia sememangnya keutamaan kami.

“Cuma kita bimbang bila buat perjanjian damai, kita pula kena ikut apa yang ditentukan oleh Kerajaan Perpaduan sedangkan semua pihak tahu mereka pun dalam keadaan yang tidak jelas, dasar tidak menentu dan bercelaru,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, menurut Mas Ermieyati, jangan disebabkan perdamaian itu, ada pihak yang akan mempertikaikan kewibawaan Sanusi dalam memberi teguran dan kritikan.

“Jadi, syarat damai adalah masih boleh menegur dan mengkritik kerajaan bukan menerima seadanya,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: