'Bincang dengan KKM dulu supaya rakyat tak keliru'

Kedai gunting rambut antara yang dibenar beroperasi semula sebelum ini pada fasa ketiga PKP bermula 15 April. Gambar kecil: H Puvaniten
Kedai gunting rambut antara yang dibenar beroperasi semula sebelum ini pada fasa ketiga PKP bermula 15 April. Gambar kecil: H Puvaniten
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan mengumumkan pembukaan semula sembilan sektor perniagaan bagi fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 April ini perlu berasaskan koordinasi dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada ia boleh meningkatkan risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), H Puvaniten berkata, rakyat tidak mahu sebarang kekeliruan tercetus berikutan terdapat sektor-sektor diumumkan boleh menyumbang kepada kontak rapat sekali gus menjurus kepada peningkatan kes.

Menurutnya, pada fasa ketiga PKP, amat penting bagi kerajaan memutuskan sepenuhnya rantaian penularan wabak Covid-19 dengan kerajaan harus konsisten untuk mengkaji semula sektor-sektor dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP ini.

"Kita dapat lihat kebenaran beberapa sektor perniagaan beroperasi semula bermula fasa ketiga PKP mendapat reaksi negatif pelbagai lapisan masyarakat susulan berpotensi mengundang kemunculan kluster baharu Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai gunting rambut, cermin mata tidak dibenar beroperasi

Gunting rambut: Alasan lebih ramai rakyat keluar rumah

"Beberapa sektor disebutkan itu sebenarnya boleh ditangguhkan lagi kerana faktor keselamatan dan nyawa adalah lebih penting dalam krisis kronik ini dengan objektif utama PKP adalah bertujuan menyelamatkan nyawa manusia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Puvaniten berkata, satu kata putus segera perlu dikemukakan berhubung pembukaan sembilan sektor perniagaan ini bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan di atas situasi genting pandemik Covid-19 ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan dengan segera perlu mempertimbangkan semula kesihatan dan keselamatan orang ramai serta menarik semula kebenaran sembilan sektor berkenaan dalam tempoh kritikal ini.

"Walaupun penutupan sektor-sektor perniagaan tertentu menjejaskan ekonomi, pada masa kini haruslah diingat paling penting adalah keselamatan nyawa.

"Sekiranya kita boleh mengurangkan kuantiti jangkitan dengan mematuhi sepenuhnya arahan PKP, barulah kita boleh buat bagaimana kepastian atas nasihat KKM untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut," katanya.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan pelonggaran sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP termasuk perkhidmatan gunting rambut dan dobi.

Keputusan berkenaan diambil menerusi mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, pelonggaran diberikan kepada beberapa sektor perniagaan seperti perkhidmatan gunting rambut dan sektor pembinaan mengundang reaksi negatif rakyat Malaysia yang bimbang ianya mengundang kewujudan kluster penyebaran baharu Covid-19.