Pembukaan semula sempadan antara faktor kenaikan keuntungan TH

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula sempadan negara selepas keadaan Covid-19 terkawal adalah antara faktor kenaikan jumlah keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) daripada RM2.46 bilion pada 2021 kepada RM2.65 bilion pada 2022.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, pembukaan sempadan itu membolehkan kegiatan ekonomi negara kembali rancak termasuk aktiviti perniagaan dan pelaburan TH.

Menurut Muhammad Iqmal Hisham, faktor lain yang mendorong kepada peningkatan keuntungan sebanyak tujuh peratus itu termasuk penanggungan kos operasi haji pada 2022 yang lebih rendah berikutan jumlah kuota haji pada tahun itu adalah sekitar 15,000 orang.

"Walaupun tujuan asal penubuhan TH adalah untuk menyediakan medium tabungan dan pengurusan haji, masyarakat Islam di sini telah mempunyai kepercayaan bahawa TH juga merupakan satu platform bagi mereka untuk melabur dan mendapatkan pulangan yang kompetitif,” katanya kepada Bernama.

Katanya, kadar agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus ditawarkan TH pada 2022 juga adalah kompetitif dan lebih baik berbanding pulangan dividen simpanan di bank-bank Islam pada purata 2.34 peratus.

Muhammad Iqmal Hisham juga mencadangkan supaya TH lebih giat meneroka pelbagai peluang perniagaan dalam sektor lebih mampan dan berdaya saing yang boleh memberikan pulangan baik.

"Untuk mencapai hal ini, pengurusan TH perlu mempunyai kepakaran dalam pelaburan dan perniagaan. Hala tuju dan peranan TH juga perlu lebih meluas dengan membantu mengembangkan ekonomi ummah daripada hanya bertumpu semata-mata kepada urusan ibadah haji,” katanya.

Sementara itu, Rafida Mohd Ithnin, 48, peniaga yang juga pendeposit berharap, kadar agihan keuntungan akan terus meningkat setiap tahun, mengambil kira jumlah pendeposit TH yang ramai berbanding bank-bank Islam lain.

Seorang lagi pendeposit yang juga kakitangan swasta, Aizat Hanafi, 24, berkata, dia menggunakan platform TH itu sebagai pelaburan simpanan peribadi dan berharap berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji melalui agensi itu.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan agihan keuntungan TH pada 3.1 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2022.

Beliau berkata agihan keuntungan berkenaan melibatkan jumlah sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH. - Bernama