Kerajaan digesa semak semula peruntukan sekolah Cina persendirian

Akmal
Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menyemak semula kadar peruntukan purata sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk diseragamkan dengan peruntukan institusi pendidikan agama dan bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan.

Ketuanya, Dr Akmal Salleh berkata, perkara tersebut perlu diambil kira memandangkan sekolah tersebut dipercayai menerima peruntukan agak tinggi sedangkan jumlahnya tidak banyak.

“SMPC menerima peruntukan sebanyak RM15.7 juta sementara sebanyak RM150 juta telah diberikan kepada sekolah tahfiz dan pondok.

“Perkara ini membangkitkan persoalan dari segi purata kerana RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 buah sekolah (institusi sekolah agama berdaftar) yang membawa maksud setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 berbanding RM15.7 juta bagi 63 buah SMPC, satu sekolah mendapat RM250,000.

“Kedudukan SA dan SMPC adalah tidak sama di sisi perlembagaan, peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukannya KPM. Ia menunjukkan punca kuasa kewujudan institusi tersebut di bawah peruntukan perlembagaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Muhammad Akmal menambah, sekiranya pihak SMPC memberi alasan kekurangan dana, maka kerajaan dicadangkan untuk menyerapnya ke dalam sekolah aliran kebangsaan.

“Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif, lebih memerlukan bantuan dana dari sekolah berkenaan yang kita semua sedia maklum dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dukungan kerajaan,” ujar beliau.

Pada 20 April lalu, kerajaan meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 SMPC di seluruh negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap sekolah akan menerima bantuan RM250,000 yang akan diberikan dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, dengan majlis penyerahan rasmi pada 5 Mei ini.