Isu pemilikan saham: LPPR ambil maklum penjelasan Azam Baki

Mohammad Salim
Mohammad Salim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengambil maklum penjelasan yang dikemukakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pengisytiharan pemilikan saham.

Pengerusinya, Tan Sri Mohammad Salim Fateh Din berkata, keperluan pengisytiharan harta telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam, sekali gus memenuhi kehendak tatakelola rasmi perkhidmatan awam.

“Ia selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohammad Salim turut menegaskan bahawa integriti SPRM sebagai institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan yang tidak berasaskan fakta.

“Apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau menambah bahawa LPPR ialah salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694), dan memainkan peranan menasihati, meneliti serta menilai perjalanan SPRM dari sudut dasar, strategi, tadbir urus dan keberkesanan pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam sebelum ini menjelaskan bahawa beliau telah melepaskan semua pegangan saham sejak Julai tahun lalu dan telah mengisytiharkannya melalui Sistem HRMIS kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebelum itu, laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki 17.7 juta unit saham Velocity, syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai saham itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan penutupan dagangan Isnin lalu. - Awani 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mengambil maklum penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai isu pemilikan saham
  • Kepatuhan terhadap pengisytiharan harta telah dikemukakan mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam
  • Integriti SPRM sebagai institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan yang tidak berasaskan fakta
  • LPPR salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, menasihati mengenai dasar, strategi, dan keberkesanan pelaksanaan
  • Azam Baki telah melepaskan semua pegangan saham sejak Julai tahun lalu dan telah mengisytiharkannya melalui Sistem HRMIS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!