Suami tikam leher, badan isteri 13 kali

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga tempatan membunuh isterinya di sebuah rumah di Kepong, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, selepas kejadian itu suspek pula dipercayai telah mencederakan diri sendiri sebelum ditemui mati.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada panggilan Mers 999 pada jam 11.43 pagi mengenai kes tersebut.
"Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati lelaki berusia 54 tahun terbaring di dalam bilik dengan kesan tikaman di leher.
"Manakala isterinya berusia 52 tahun pula mengalami 13 kecederaan tikaman, termasuk di leher, tangan dan badan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Sukarno berkata, mayat pasangan itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Motif pembunuhan dipercayai kerana perselisihan faham antara suami isteri itu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Perselisihan faham antara suami isteri di Kepong, Kuala Lumpur menjadi punca pembunuhan
- Ketua Polis Daerah Sentul menerima maklumat tentang kejadian tersebut melalui panggilan Mers 999
- Lelaki berusia 54 tahun ditemukan dengan kesan tikaman di leher
- Isterinya, berumur 52 tahun, mengalami 13 kecederaan tikaman
- Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
