Integriti SPRM perlu dinilai berdasarkan fakta, bukan dakwaan tidak berasas - Pengerusi LPPR

Mohamad Salim
Mohamad Salim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dinilai berdasarkan fakta dan tadbir urus yang kukuh, bukannya melalui tohmahan atau naratif mengelirukan, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Beliau berkata, LPPR memandang serius laporan media antarabangsa Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta implikasi laporan itu terhadap kredibiliti institusi penguatkuasaan tersebut.

"Berdasarkan semakan dan penjelasan yang telah dikemukakan (kepada lembaga ini), pengisytiharan harta (Azam Baki) dengan jelas telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, menepati arahan Pekeliling Perkhidmatan Awam, selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Justeru, Mohamad Salim menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang menggambarkan seolah-olah wujud kegagalan pematuhan terhadap pekeliling perkhidmatan awam dan saluran rasmi yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa integriti SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan dan tidak berpandukan fakta, apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang.

Beliau berkata, sebagai satu daripada lima badan pemantau bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694), LPPR mempunyai peranan jelas untuk menasihati, meneliti dan menilai perjalanan SPRM dari sudut dasar, strategi, tadbir urus dan keberkesanan pelaksanaannya.

Mohamad Salim berkata, ketelusan dan profesionalisme SPRM kekal tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh lembaga itu, termasuk melalui penelitian laporan tahunan serta memberi ulasan dan pandangan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), sebagaimana diperuntukkan oleh Akta.

"LPPR akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas, objektif dan beramanah, tanpa dipengaruhi oleh tekanan luar, demi memastikan SPRM kekal berfungsi dengan cekap, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya.

Pada Selasa lepas, Bloomberg mengeluarkan laporan berhubung pemilikan saham oleh Azam yang didakwa mencecah jutaan unit dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Integriti SPRM perlu dinilai berdasarkan fakta dan tadbir urus yang kukuh
  • Laporan media antarabangsa menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti SPRM
  • Azam Baki telah menepati prosedur pengisytiharan harta
  • Tidak patut membuat spekulasi yang menyalahkan pematuhan prosedur rasmi
  • LPPR bersikap objektif dalam memastikan SPRM berfungsi dengan berintegriti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!