JPA semak pekeliling lapuk termasuk berkaitan pemilikan saham penjawat awam

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi perhatian untuk mengemas kini mana-mana pekeliling, peraturan dan garis panduan yang telah melebihi 20 tahun atau tidak lagi relevan pemakaiannya termasuk berkaitan pekerjaan luar serta pemilikan saham oleh pegawai awam.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, JPA memaklumkan langkah itu dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa, meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi selain penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 [Akta 867] yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2025.
Menurut jabatan itu, semua entiti kerajaan diwajibkan menyemak semula instrumen kawal selia di bawah bidang kuasa masing-masing dalam tempoh setiap tiga tahun berdasarkan ketetapan akta berkenaan serta Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2025.
“Entiti kerajaan diwajibkan untuk menyemak semula semua instrumen kawal selia (termasuk pekeliling, peraturan dan garis panduan) di bawah bidang kuasa masing-masing dalam tempoh setiap tiga tahun,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas JPA, pengemaskinian itu menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang menjadi teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, berorientasikan peningkatan kecekapan, integriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Perkara ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam,” jelasnya.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendesak JPA memberi penjelasan terbuka berkaitan isu pegangan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dakwanya, Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 melarang penjawat awam membeli saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000 pada nilai semasa.
Menerusi laporan Bloomberg, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Laporan itu sekali gus merupakan pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, Azam menerusi sidang akhbar khas menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak Julai tahun lalu.
Ringkasan AI
- JPA memfokuskan pada pengemaskinian pekeliling dan peraturan yang telah melebihi 20 tahun atau tidak lagi relevan
- Langkah ini diambil berdasarkan perubahan semasa dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan, dan teknologi
- Semua entiti kerajaan diarahkan untuk menyemak semula instrumen kawal selia di bawah bidang kuasa mereka setiap tiga tahun
- Pengemaskinian ini merupakan sebahagian daripada Reformasi Kerenah Birokrasi dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam
- Isu pegangan saham oleh pegawai awam, termasuk kes Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut menjadi perhatian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

