Malaysia kecam sekeras-kerasnya perluasan kawalan, penempatan haram Israel

KUALA LUMPUR - Malaysia "mengecam sekeras-kerasnya” keputusan rejim Zionis Israel untuk memperluas kawalannya ke atas Wilayah Tebing Barat yang diduduki dan memudahkan pengambilalihan tanah oleh peneroka haram, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Selasa.
Kementerian itu menegaskan tindakan Israel tersebut bersamaan dengan perluasan penempatan haram dan pengambilalihan, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat, resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip Piagam PBB.
Kementerian itu yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata, "keputusan itu akan memburukkan lagi pendudukan haram Israel, dengan implikasi serius terhadap hak rakyat Palestin dan prospek penyelesaian dua negara.”
"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya menolak tindakan itu dan mengambil langkah berkesan bagi menghalang pencerobohan lanjut ke atas tanah Palestin.
"Malaysia menegaskan semula solidariti yang teguh terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan sah mereka untuk kebebasan, keadilan dan merealisasikan penubuhan Negara Palestin yang merdeka serta berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.- Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam keras keputusan Israel untuk memperluas kawalan ke atas Wilayah Tebing Barat dan memudahkan pengambilalihan tanah
- Tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan resolusi PBB
- Keputusan itu akan memburukkan lagi pendudukan haram Israel dengan implikasi serius terhadap hak rakyat Palestin
- Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak dan menghalang pencerobohan lanjut ke atas tanah Palestin
- Malaysia menegaskan semula solidariti terhadap rakyat Palestin untuk merealisasikan penubuhan Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
