PM, Kabinet akan tentukan tindakan lanjut terhadap Azam

Kulasegaran ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Kulasegaran ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan ditentukan oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menjelaskan, sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dengan hanya berdasarkan satu laporan mengenainya oleh sebuah portal berita.

"Di Malaysia, tiada siapa yang kalis undang-undang, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kes ini perlu penyiasatan dan akhir sekali, keputusan patut dibuat oleh Perdana Menteri dan Kabinet.

"Saya difahamkan tidak lama lagi, mesti satu keputusan akan dibuat dan kita semua akan diberitahu, tetapi ini bukan menunjukkan kita lari daripada tanggungjawab.

"Kita perlu lakukan siasatan sewajarnya sama ada ini mengikut undang-undang dan sebagainya," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Tasek Gelugor) yang mencadangkan Azam direhatkan daripada jawatannya buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dibuat terhadapnya oleh SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan laporan berhubung pemilikan saham itu oleh portal berita Bloomberg.

Sebelum ini portal berita itu melaporkan, Azam memiliki 17.7 juta saham sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia iaitu Velocity Capital Partner Bhd, berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada 3 Februari tahun lalu.

Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Sementara itu Kulasegaran menjelaskan, terdapat pekeliling yang terpakai kepada penjawat awam berhubung pembelian saham.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah diberikan taklimat lanjut dan dimaklumkan bahawa dalam Pekeliling Tatakelola dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam 2024, ia terpakai dalam hal ini.

"Penjelasan bertulis boleh dipohon oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara) sekiranya ambang tersebut telah melebihi," jelasnya.

 

Ringkasan AI

  • Tindakan lanjut berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM akan ditentukan oleh Perdana Menteri dan Kabinet
  • Keputusan tidak boleh dibuat tergesa-gesa berdasarkan satu laporan portal berita
  • Tiada siapa di Malaysia yang kalis undang-undang termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM
  • Siasatan sewajarnya perlu dijalankan mengikut undang-undang
  • Pekeliling yang terpakai kepada penjawat awam berhubung pembelian saham telah diterangkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!