Malaysia kecam tindakan Israel serang ibu pejabat UNRWA

Tentera Israel yang disertai sekurang-kurangnya sebuah jentolak, menceroboh masuk ke dalam perkarangan berkenaan di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, lalu merobohkan struktur mudah alih serta kekal di tapak itu. - Foto AP
Tentera Israel yang disertai sekurang-kurangnya sebuah jentolak, menceroboh masuk ke dalam perkarangan berkenaan di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, lalu merobohkan struktur mudah alih serta kekal di tapak itu. - Foto AP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dan perobohan premis UNRWA di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur, Palestin.

Wisma Putra menegaskan Israel mempunyai obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutamanya UNRWA, organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB, melindungi semua petugas kemanusiaan dan perubatan; memastikan hak keistimewaan dan kekebalan PBB, termasuk premis, harta benda dan kakitangan PBB dipertahankan.

Ia selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025.

"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa secara berterusan termasuk Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946, dan resolusi-resolusi PBB berkaitan.

"Impuniti ini harus dihentikan," kata kementerian itu dalam kenyataan pada Rabu.

Media antarabangsa pada Selasa melaporkan Menteri Keselamatan Nasional daripada pelampau kanan, Itamar Ben-Gvir mengetuai tentera Israel untuk merobohkan struktur di dalam ibu pejabat UNRWA, di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Rejim Israel yang disertai sekurang-kurangnya sebuah jentolak, menceroboh masuk ke dalam perkarangan berkenaan di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, lalu merobohkan struktur mudah alih serta kekal di tapak itu.

Mereka turut menaikkan bendera Israel di perkarangan itu bagi menggantikan bendera PBB.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Malaysia mengecam pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur, Palestin
  • Wisma Putra menegaskan Israel harus memastikan saluran bantuan kemanusiaan dan melindungi petugas serta kekebalan PBB
  • Tindakan Israel bertentangan dengan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB
  • Malaysia menyeru kepada akauntabiliti terhadap Israel atas pelanggaran berterusan undang-undang antarabangsa
  • Tentera Israel merobohkan struktur di ibu pejabat UNRWA dan menaikkan bendera Israel di perkarangan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!