Tebing Barat senasib Genting Gaza

OSLO - Dalam tempoh kira-kira sembilan bulan, Israel telah merobohkan lebih 1,000 struktur di Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur atas alasan tiada permit.
Sehingga 30 September, sebanyak 1,288 bangunan termasuk rumah penduduk Palestin telah diruntuhkan dengan sengaja termasuk 138 buah yang dibiayai agensi bantuan antarabangsa.
Kempen perobohan berskala besar itu telah menyebabkan lebih 1,400 penduduk Palestin hilang tempat tinggal dan hampir 38,000 hilang mata pencarian, infrastruktur pertanian dan kemudahan air serta sanitasi.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama pada 2024 apabila sebanyak 929 struktur dirobohkan kerana tiada permit.

“Penduduk Palestin di wilayah itu juga berdepan langkah pengusiran seperti di Gaza. Tanah mereka dirampas untuk dijadikan tapak projek penempatan haram Yahudi. Ia jelas satu bentuk tindakan yang disengajakan,” ujar Pengarah Serantau Majlis Pelarian Norway (NRC) untuk Asia Barat dan Afrika Utara, Angelita Caredda.
Israel menafikan hak penduduk Palestin untuk membina struktur di Kawasan C meliputi lebih 60 peratus bahagian Tebing Barat yang berada di bawah kawalan rejim Tel Aviv.
Sejak Oktober 2023, sebanyak 282 permohonan permit telah dihantar, namun tiada satu pun diluluskan Israel.
Tel Aviv turut melakukan perobohan secara punitif pada tahun ini yang menyamai rekod pada 2023.
Ia melibatkan tindakan pemusnahan rumah milik penduduk Palestin yang didakwa kononnya menyerang komuniti Yahudi.
Israel mengenakan hukuman kolektif yang dilarang sama sekali di bawah undang-undang antarabangsa.
Selain itu, serbuan ganas di kem pelarian Jenin, Nur Shams dan Tulkarem turut menyebabkan kemusnahan ketara.

Pada tahun lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menyokong saranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati kehadiran Israel di wilayah Palestin yang diduduki sebagai melanggar undang-undang.
Menerusi resolusi pada 18 September 2024, UNGA memberikan tempoh selama 12 bulan kepada Tel Aviv untuk berundur selain menggesa negara antarabangsa agar mengecam tindakan rampasan di wilayah itu.
Tempoh itu telah berakhir, namun Israel semakin galak menggempur Tebing Barat malah merancang mahu mengilhak seluruh wilayah tersebut.
“Tel Aviv mempercepatkan agenda untuk menakluk wilayah itu. Lebih 150 negara telah mengiktiraf negara Palestin. Tetapi, tanah milik mereka semakin lenyap. Komuniti antarabangsa perlu bertindak segera bagi mengelakkan hak mereka dirampas sewenang-wenangnya,” ujar Caredda lagi. - Agensi
Info:
>Di bawah Perjanjian Interim Oslo II, kawalan di Kawasan C sepatutnya dipindahkan secara berperingkat kepada pihak berkuasa Palestin dalam tempoh 18 bulan setelah penubuhan Majlis Palestin pada 1996. Hampir tiga dekad kemudian, Kawasan C masih dikawal Israel.
>Antara 2016 dan 2021, penduduk Palestin di Kawasan C telah menghantar 2,550 permohonan untuk mendapatkan permit bangunan. Hanya 24 diluluskan, kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ringkasan AI
- Israel merobohkan lebih 1,000 struktur di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur kerana tiada permit
- Kempen perobohan menyebabkan lebih 1,400 Palestin hilang tempat tinggal dan hampir 38,000 hilang mata pencarian
- Peningkatan perobohan sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya
- Tiada permit pembinaan diluluskan Israel untuk penduduk Palestin di Tebing Barat sejak Oktober 2023
- Perhimpunan Agung PBB menggesa Israel berundur dari wilayah Palestin yang diduduki, tetapi Israel berancang untuk mengilhak seluruh wilayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

