Pekerja ladang FGV tidak dihalau, masih tinggal di kuarters - Exco

KUALA TERENGGANU – Pekerja ladang FGV Holdings Bhd (FGV) di Terengganu tidak pernah diarahkan keluar dari kuarters dan masih tinggal di situ seperti biasa, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim.
Beliau berkata, dakwaan kononnya pekerja telah dihalau adalah tidak benar dan perkara itu tidak pernah timbul sepanjang proses rundingan antara kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
"Siapa yang kata pekerja dah kena halau? Mereka masih tinggal di kuarters macam biasa.
"Kebimbangan kononnya mereka akan diarahkan keluar tidak akan berlaku. Hari ini semua persoalan itu terjawab," katanya ketika mengulas perkembangan rundingan tanah yang diusahakan agensi itu, di sini pada Isnin.
Menurut Azman, sejak awal lagi kerajaan negeri sentiasa mencari ruang untuk membawa isu tanah kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial Felda ke meja rundingan bagi mencapai penyelesaian secara menang-menang.
Katanya, langkah tegas itu akhirnya membuka kembali ruang rundingan yang kini berlangsung antara Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi Felda.
"Selepas lebih 40 tahun tanpa penyelesaian dan 'tangan yang dihulur tak bersambut' maka Kerajaan Negeri terpaksa menguatkuasakan peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara (KTN).
"Dalam rundingan, kita bersikap terbuka. Menuntut tidak bermakna kita mesti dapat semua, bertolak ansur tidak bermakna hilang semuanya," katanya.
Beliau menambah, terdapat perkara yang boleh dipertimbangkan dalam proses rundingan selain beberapa aspek lain yang termaktub dalam Peraturan Tanah Terengganu seperti kadar premium, cukai tanah dan penyelesaian tunggakan cukai lebih empat dekad.
Kerajaan Terengganu pada Isnin mengumumkan untuk melanjutkan tempoh selama sebulan sehingga 7 Januari 2026 susulan perkembangan positif rundingan berkaitan isu tanah ladang komersial yang diusahakan agensi itu di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zulkifli Ali berkata, keputusan itu dipersetujui selepas beberapa sesi perbincangan pengurusan tertinggi Felda menunjukkan kemajuan yang diyakini mampu membawa kepada penyelesaian muktamad.
Pada 29 November lalu, kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda membabitkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di enam daerah di Terengganu.
Langkah itu dilakukan selepas agensi tersebut gagal memberi maklum balas terhadap tuntutan bayaran 30 peratus hasil keuntungan tanah ladang diusahakan itu.
Ringkasan AI
- Pekerja ladang FGV di Terengganu tidak diarahkan keluar dari kuarters dan masih tinggal seperti biasa
- Dakwaan kononnya pekerja dihalau dari kuarters adalah tidak benar
- Kerajaan negeri sentiasa mencari ruang rundingan dengan Felda untuk mencapai penyelesaian menang-menang
- Rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengurusan Tertinggi Felda kini berlangsung
- Kerajaan Terengganu melanjutkan tempoh larangan menceroboh tanah ladang hingga 7 Januari 2026 berikutan perkembangan positif rundingan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
