Isu tanah: Pelanjutan tempoh remedi beri ruang perbincangan lanjut Terengganu-Persekutuan

KUALA LUMPUR - Pelanjutan tempoh remedi berkaitan notis dikeluarkan Kerajaan Terengganu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Januari 2026 membolehkan perbincangan lebih lanjut bersama kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan Felda.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu telah menerima maklumat terkini berkenaan isu Felda dan perbincangan bersama kerajaan negeri.
"Semalam pihak Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengeluarkan kenyataan, susulan kenyataan kerajaan negeri Terengganu berkaitan satu isu melibatkan skim rancangan FELDA.
"Sebelum ini saya pernah sebut bahawa kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran sebanyak RM61 juta tahun lalu tetapi ada beberapa perkara yang sedang diteliti.
"Jadi ada beberapa perkara sedang diteliti dan Jemaah Menteri mengikuti dengan sangat rapat perkembangan isu ini,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.
Pada Selasa, FGV memulakan semula operasi ladang susulan pelanjutan tempoh remedi hingga 7 Jan tahun depan oleh Terengganu.
Felda dan FGV dalam kenyataan bersama pada Selasa memaklumkan, operasi kini dapat diteruskan secara normal dan mereka kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.
Isnin lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi berkaitan notis yang dikeluarkan sekali gus menangguhkan notis yang sebelum ini dikeluarkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV.
Baru-baru ini, Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa tanah berkenaan telah diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun. - Bernama
Ringkasan AI
- Pelanjutan tempoh remedi hingga 7 Jan 2026 membolehkan perbincangan lanjut antara kerajaan Persekutuan dan Terengganu berkaitan FELDA
- Mesyuarat Jemaah Menteri telah menerima maklumat terkini mengenai isu FELDA dan perbincangan dengan kerajaan negeri
- FELDA dan FGV telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu melibatkan skim rancangan FELDA setelah Terengganu mengeluarkan notis
- Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran RM61 juta kepada FELDA tahun lalu dan beberapa perkara masih dalam proses kajian
- FGV memulakan semula operasi ladang dan fokus kepada peningkatan hasil serta pembangunan komuniti peneroka selepas pelanjutan tempoh remedi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
