'Anak saya tidak pernah syak, tuduh Zara Qairina mencuri' - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi ke-62 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa anaknya, Pelajar A, tidak mengesyaki Allahyarhamah terlibat dalam kehilangan wang pelajar lain, termasuk insiden wang RM300 milik anaknya.
Saksi berusia 42 tahun itu memaklumkan perkara terbabit semasa memberi keterangannya di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, semasa insiden pemeriksaan mengejut yang dilakukan pada 14 Julai 2025 berhubung kehilangan dompet seorang pelajar di kelas Zara Qairina, anaknya hanya memberitahu perkara itu selepas pulang ke rumah dan tidak mengesyaki sesiapa.
"Itu duit pelajar lain yang hilangkan, dia (anaknya) tidak syak sesiapa," katanya semasa menjawab soalan yang dikemukakan peguam, Shahlan Jufri.
Beliau turut menegaskan bahawa Pelajar A bukan jenis yang suka menuduh.
"Pendapat saya ini adalah satu fitnah, saya kenal anak saya," tambahnya ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa anaknya mengesyaki Zara Qairina.
Dalam kejadian lain melibatkan wang RM300 milik Pelajar A yang hilang, saksi sekali lagi menekankan bahawa anaknya tidak menyatakan sebarang syak terhadap Zara Qairina.
"Dia pernah bercerita pada saya, tidak pernah syak dan tidak pernah menuduh Zara yang mencuri sebab dia rapat dengan Zara dan ketika itu mereka berkawan baik.
"Tetapi Zara dikelilingi oleh musuh yang suka menikam di belakang. Yang musuh itu adalah kesimpulan daripada cerita anak saya," jelasnya.
Sebelum itu, saksi kekal dengan kenyataannya seperti dalam kenyataan saksi bahawa ibu Zara Qairina pernah memarahinya melalui aplikasi WhatsApp.
"Dia ada memarahi saya, dia terus WhatsApp. Tapi saya tak balas, di bahagian belakang (eksibit perbualan WhatsApp) pada tarikh yang sama," katanya semasa peguam meminta pengesahan mengenai perbualan WhatsApp itu.
Saksi kemudian mengesahkan pesanan WhatsApp yang diterimanya adalah berbentuk 'forward' dan bukan ditulis sendiri oleh ibu Zara Qairina.
"Betul, tapi apa tujuan dia berikan kepada saya. Saya rasa dia lebih mempercayai pihak sana yang berniat sama. Itu pemahaman saya dan ini berbahaya untuk anak saya," katanya.
Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Ringkasan AI
- Saksi menafikan anaknya mengesyaki Zara Qairina terlibat dalam kehilangan wang pelajar lain
- Saksi memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu
- Insiden pemeriksaan mengejut tidak menyebabkan anak saksi menuduh sesiapa
- Saksi menegaskan anaknya tidak pernah menyatakan syak kepada Zara Qairina walaupun dalam kejadian lain melibatkan kehilangan wang RM300
- Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
