La Nina: 7 episod hujan lebat dijangka landa Pantai Timur ketika MTL

Nor Yahati (kanan) mendengar penerangan pada Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di Hotel Renai, Kota Bharu pada Rabu.
Nor Yahati (kanan) mendengar penerangan pada Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di Hotel Renai, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjangkakan sebanyak tujuh episod hujan lebat berpotensi melanda negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sekiranya fenomena La Nina berlaku ketika tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang berkata, keadaan itu boleh menyebabkan ketiga-tiga negeri berisiko dilanda banjir, khususnya dalam tempoh November hingga Disember 2025.

“Hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku sepanjang tempoh itu, dengan impak besar terhadap kawasan-kawasan terdedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di Hotel Renai, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Menurut Nor Yahati, Monsun Timur Laut lazimnya boleh berlanjutan sehingga penghujung Mac 2026 dengan hujan lebat berterusan dijangka turut melanda timur Sabah serta barat dan selatan Sarawak.

Beliau memaklumkan, berdasarkan unjuran semasa, fenomena El Nino–Southern Oscillation (ENSO) dijangka beralih kepada fasa La Nina pada suku keempat tahun ini.

“Maklumat daripada model-model iklim utama menunjukkan kemungkinan besar cuaca akan menjadi lebih lembap daripada biasa, terutamanya di Sabah.

“Sabah dijangka terkena tempias MTL antara November 2025 hingga Februari 2026, manakala Johor dan Sarawak pula antara Januari hingga awal Mac 2026,” jelasnya.

Nor Yahati turut menjelaskan bahawa kehadiran luruan monsun kuat boleh menyebabkan hujan lebat berterusan di Pantai Timur, yang berpotensi merebak ke negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kewujudan sistem tekanan udara rendah di Laut China Selatan yang bergerak merentasi Semenanjung Malaysia ke arah barat turut dijangka menyumbang kepada kejadian hujan lebat berpanjangan di kebanyakan negeri.

“Keadaan ini mewujudkan risiko yang lebih besar kepada kawasan berisiko banjir dan langkah kesiapsiagaan perlu dilaksanakan dari sekarang,” katanya.

Ringkasan AI

  • Tujuh episod hujan lebat dijangka landa Pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang jika La Nina berlaku semasa Monsun Timur Laut
  • Hujan lebat signifikan di Pantai Timur dijangka berlaku pada November hingga Disember
  • Monsun Timur Laut boleh berterusan sehingga penghujung Mac 2026
  • Fenomena La Nina dijangka beralih pada suku keempat tahun ini menyebabkan keadaan cuaca lebih lembap
  • Potensi hujan lebat berterusan merebak ke negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia akibat sistem tekanan udara rendah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!